Menurut laporan awal, Zeekr 8X dijangka ditawarkan dengan harga permulaan sekitar 430,000 yuan, bersamaan kira-kira RM280,000 mengikut kadar tukaran semasa. Sebagai perbandingan, model lebih besar Zeekr 9X kini dijual antara 465,900 hingga 599,900 yuan.

Platform SEA-S dan Seni Bina 900V
Zeekr 8X dibangunkan menggunakan platform SEA-S (Sustainable Experience Architecture – Sport) dan dijangka menampilkan seni bina voltan tinggi 900V. Konfigurasi ini membolehkan keupayaan pengecasan pantas serta kecekapan prestasi yang lebih tinggi, selari dengan hala tuju teknologi terkini Zeekr.
Model ini turut dijangka menggunakan sistem plug-in hybrid yang hampir sama dengan Zeekr 9X, termasuk tiga motor elektrik serta bateri yang menyokong 6C fast-charging.
Haohan AI Digital Chassis: Fokus Keselamatan & Off-Road
Antara ciri utama ialah Haohan AI Digital Chassis, sistem casis pintar yang direka untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kebolehan pemanduan. Menurut Zeekr, dalam situasi ekstrem seperti tayar pecah serentak di sebelah kiri atau kanan ketika memandu di jalan basah pada kelajuan 120 km/j, kenderaan masih mampu membrek secara stabil dan selamat.
Untuk pemanduan off-road, sistem ini boleh mengenal pasti sehingga tujuh jenis permukaan termasuk salji tebal, lumpur, pasir dan batu, kemudian memadankan mod pemanduan yang sesuai secara automatik.

Rekaan Hampir Zeekr 9X, Saiz Lebih Kompak
Daripada imej berbalut kamuflaj yang didedahkan, Zeekr 8X mengekalkan bahasa rekaan hampir sama dengan Zeekr 9X. Ia menampilkan lampu belakang jenis dual through-type, pemegang pintu konvensional, rim hitam berkilat serta angkup brek merah yang memberi sentuhan sporty.
Namun dari segi dimensi, Zeekr 8X dijangka lebih kecil. Jika Zeekr 9X berukuran 5,239 mm panjang dengan jarak roda 3,169 mm, Zeekr 8X dianggarkan sekitar 5.1 meter panjang dan jarak roda 3.1 meter. Ia berpotensi ditawarkan dalam konfigurasi 5, 6 atau 7 tempat duduk.
Lidar Bumbung & Sistem Pemanduan Autonomi Tahap 3
Seperti Zeekr 9X, Zeekr 8X turut dilengkapi lidar pada bahagian bumbung. Ia dijangka menawarkan sistem bantuan pemanduan lanjutan G-Pilot H7 atau H9 bergantung kepada varian.
G-Pilot H7 menggunakan cip Nvidia Drive Thor-U dengan kuasa pengkomputeran sehingga 700 TOPS, manakala G-Pilot H9 pula menggunakan dua cip Drive Thor-U, menyokong keupayaan pemanduan autonomi Tahap 3 yang lebih maju.
Dengan gabungan teknologi PHEV berprestasi tinggi, AI chassis, dan sistem ADAS terkini, Zeekr 8X jelas disasarkan untuk bersaing terus dalam segmen SUV premium elektrik dan plug-in hybrid bersaiz besar apabila dilancarkan pada 2026.
Sumber: CarNewsChina