Zon pemeriksaan motosikal di Kompleks ICQ Johor kembali beroperasi

oleh Penyumbang Rencana|
Zon pemeriksan motosikal di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, di Johor kembali beroperasi seperti biasa setelah masalah teknikal dan kerja konfigurasi sistem M-Bike pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan pada Isnin, berkata masalah teknikal dan kerja-kerja konfigurasi itu telah selesai dan dapat diatasi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata, pada masa yang sama tindakan pemantauan berterusan selama 24 jam akan terus dilaksanakan bagi memastikan gangguan sistem tidak berulang dan kelancaran di zon pemeriksaan motosikal terutamanya pada waktu puncak.

"Pihak imigresen komited untuk sentiasa berusaha menambah baik proses kerja dan sistem sedia ada sekali gus memastikan pergerakan di pintu masuk utama Malaysia dan Singapura berjalan lancar," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi yang diberikan oleh pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Johor dan syarikat pengendali penyelenggaran sistem untuk memulihkan keadaan itu.

"Imigresen juga berterima kasih di atas keprihatinan serta sokongan berterusan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menangani isu ini," katanya.

Minggu lalu, Ruslin dilaporkan berkata kesesakan luar biasa berlaku di Zon Motosikal Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar disebabkan gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar.

 

Bernama