ZONTES Malaysia Perkenal Siri Skuter 368 Versi Baharu Dalam Pasaran

oleh Firdaus Razani|
ZONTES Malaysia terus memperkukuh kehadiran dalam segmen skuter menerusi pengenalan siri baharu ZONTES 368 yang tampil dengan pendekatan komuniti penunggang dikenali sebagai “Geng4Ride”.

Inisiatif ini bukan sahaja menambah pilihan produk, malah bertujuan memadankan karakter skuter dengan gaya hidup serta keperluan tunggangan pengguna di Malaysia.

Empat model diperkenalkan iaitu 368D, 368E, 368G dan 368K, dengan harga bermula RM23,800 hingga RM28,800. Setiap model dibangunkan dengan fokus penggunaan berbeza seperti mobiliti bandar, touring jarak jauh, eksplorasi laluan mencabar serta tunggangan santai yang lebih selesa.

ZONTES 368D – Fokus Tunggangan Urban Lebih Lincah

Model 368D disasarkan kepada penunggang bandar yang mementingkan pengendalian mudah dan responsif. Dengan berat lebih ringan berbanding model terdahulu, ia memberikan karakter tunggangan yang lebih tangkas ketika mengharungi trafik harian.

 

zontes

 

Enjin 368cc yang digunakan mampu menghasilkan kuasa sekitar 38HP dan 40 Nm tork, sekali gus memastikan pecutan lebih lancar sama ada untuk ulang-alik kerja atau tunggangan santai hujung minggu.

Pada masa sama, ruang simpanan 20 liter turut meningkatkan tahap praktikaliti untuk kegunaan harian.

 

ZONTES 368E – Skuter Touring Untuk Konvoi Jarak Jauh

Bagi penunggang yang gemar aktiviti konvoi atau perjalanan jauh, ZONTES 368E tampil sebagai pilihan lebih selesa.

Skuter maxi touring ini dilengkapi heated grip dan tempat duduk bagi meningkatkan keselesaan dalam pelbagai keadaan cuaca.

 

zontes

 

Reka bentuk ergonomik dengan ruang kaki lebih luas membantu mengurangkan keletihan ketika perjalanan panjang. Selain itu, ruang simpanan 50 liter yang mampu memuatkan dua helmet menjadikannya lebih praktikal untuk pengembaraan jarak jauh.

 

ZONTES 368G – Pilihan Fleksibel Untuk Pengembaraan

Model 368G pula ditawarkan kepada penunggang yang gemarkan elemen eksplorasi dan laluan lebih mencabar.

Ia dilengkapi tangki bahan api lebih besar untuk jarak tunggangan lebih jauh serta pilihan mod Touring dan Sport bagi menyesuaikan respons throttle mengikut situasi.

 

zontes

 

Tambahan ruang simpanan belakang ultra besar memberi kelebihan kepada penunggang yang kerap menunggang bersama pembonceng.

Sambutan pasaran yang positif sejak pelancarannya menunjukkan model ini semakin popular dalam kalangan peminat skuter adventure.

 

ZONTES 368K – Tunggangan Santai Dengan Tahap Keselesaan Tinggi

Sebagai model terbaharu dalam siri ini, ZONTES 368K memberi fokus kepada pengalaman tunggangan yang lebih relaks dan stabil.

Tempat duduk gaya sofa dengan sokongan lumbar direka untuk mengurangkan keletihan ketika perjalanan lebih jauh.

Model ini turut dilengkapi paparan TFT bersaiz besar, windshield elektrik serta lampu LED moden bagi meningkatkan tahap kemudahan dan pengalaman tunggangan secara keseluruhan. Ruang simpanan 50 liter juga menambah nilai praktikal kepada pengguna.

 

zontes

 

Kesemua model dalam siri ZONTES 368 hadir dengan teknologi kawalan moden seperti Electronic Throttle Control, Traction Control, ABS dwi-saluran serta TPMS. Selain itu, keserasian dengan aplikasi ZONTES Smart App 3.0 membolehkan penunggang memantau maklumat tunggangan secara lebih mudah melalui telefon pintar.

Secara keseluruhannya, pengenalan siri ZONTES 368 memperlihatkan hala tuju jenama ini yang semakin serius dalam memenuhi pelbagai gaya tunggangan penunggang tempatan.

Sama ada untuk kegunaan harian di bandar, konvoi jarak jauh, pengembaraan hujung minggu atau tunggangan santai yang lebih selesa, setiap model dalam barisan ini dilihat mempunyai peranan tersendiri.

 

zontes

 

Dalam masa sama, penawaran teknologi moden serta ciri praktikal yang ditambah baik turut memberi nilai tambahan kepada pengguna, sekali gus menjadikan siri ini sebagai salah satu pilihan menarik dalam segmen skuter maxi pertengahan.

Dengan strategi produk yang lebih tersusun dan pendekatan komuniti seperti “Geng4Ride”, ZONTES dilihat berpotensi untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran motosikal Malaysia pada masa akan datang.