Enjin ringkas tapi lasak dan jimat
Enjin 313 cc silinder tunggal sejukan cecair DOHC 4-injap menghasilkan 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm pada 7,500 rpm ini lasak dan menjimatkan, 3.33L/100km.
Transmisi ialah 6-kelajuan manual dengan klac basah.
Posisi silinder jadi rahsia kenapa ia ligat tapi stabil
Jika anda pernah menunggang G 310 R, anda pasti faham maksud ligat tapi stabil ini.
Untuk sebuah motosikal dengan enjin silinder tunggal, bukan mudah untuk mencapai kestabilan sebaik BMW ini tetapi rahsianya ialah pada kedudukan silinder itu yang condong ke belakang
Ia menjadikan titik graviti lebih rapat ke bumi dan ia terasa sangat stabil dan ligat, sama seperti abangnya R 1200 GS.
Sistem gantungan ditala khusus
BMW memang pakar dalam genre Adventure Bike kerana model-model GS mereka semuanya berjaya menjadi idaman ramai.
Untuk G 310 GS, pasukan BMW mengkaji dengan khusus akan sistem gantungan kerana ia perlu sebaik model-modelnya yang lain.
Kerangka besi tiub itu dipadankan dengan fork hadapan terbalik (upside down) bersaiz 41 mm dan swingarm belakang ialah dari jenis die-cast aluminium yang terus dipasang kepada pegas dan damper monoshock.
Sistem gantungan mempunyai jarak gerak (travel) sebanyak 180 mm depan dan belakang sementara roda 19-inci di hadapan membantu melanda segala cabaran dengan selesa.
Posisi menunggang beri fokus pada kawalan dan keselesaan
BMW percaya adventure bukan sahaja wujud pada hujung minggu bila anda menunggang jauh.
Ia wujud sebaik sahaja anda keluar dari pintu rumah, dalam perjalanan ke pejabat.
Sebagai sebuah motosikal urban, posisi menunggang memberi fokus kepada kawalan jentera agar anda dapat lihat dan mengawal motosikal untuk mengelak lubang, kereta dan pelbagai rintangan urban.
Kerana anda duduk tegak, ia juga selesa untuk perjalanan jauh dan dekat.
Ia memang sebuah GS
Walaupun ia mempunyai adik G 310 R yang sesuai untuk tunggangan sporti, GS cilik ini masih sebuah GS.
Rekabentuk yang sinonim dengan BMW GS tetap wujud dan praktikaliti pada motosikal ini terserlah nyata.
Dan jika ia datang dalam warna putih bersama belang biru merah, memang semua orang akan tahu bahwa ini ialah sebuah BMW GS.