Dikenali sebagai Honda BigWing, pusat baharu tersebut dibina di atas kawasan berkeluasan 514 meter persegi bagi memenuhi kehendak pengguna motosikal 250cc dan ke atas.
Pemilihan lokasi tersebut dianggap bijak susulan terletak strategik di tengah-tengah ibu kota.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata berkata, Honda BigWing direka dengan konsep binaan terkini merangkumi ruang istirehat yang luas supaya pelanggan mereka selesa dan menikmati pengalaman perkhidmatan terbaik ketika menghantar motosikal ke pusat berkenaan nanti.
"Kami sentiasa memfokuskan penyediaan pengalaman terbaik buat pelanggan, pembukaan pusat ini menjadi bukti kesungguhan BSH.
"Tidak terhenti di Kuala Lumpur, BSH akan membuka tiga lagi cawangan Honda BigWing di Pulau Pinang, Selangor dan Johor," katanya.
Menurut Nobuhide, pihaknya menawarkan kad keahlian Honda BigWing percuma bagi pelanggan mereka.
Jelasnya, pengguna berpeluang menikmati diskaun minimum sebanyak 10 peratus bagi setiap pembelian alat ganti dan aksesori Honda, khidmat nasihat percuma beserta pakej insurans khas menerusi kad tersebut.
Tambah Nobuhide, pelancaran pusat berkenaan membuka ruang bagi pihaknya meletakkan unjuran jualan sebanyak 30 peratus atau lebih 1,600 unit bagi segmen motosikal berkuasa tinggi tahun hadapan.
Selain Nobuhide, turut dilihat hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Wee Hong.
Terdahulu, pembukaan Honda BigWing pertama di Malaysia itu turut menyaksikan debut motosikal baharu termasuk Honda X ADV, Honda CRF1000L dan CB1000R.
BSH menjangkakan bakal memasarkan ketiga-tiga motosikal tersebut di pasaran tempatan menjelang suku tahun kedua (Jun depan).
Maklumat lanjut mengenai Honda BigWing boleh didapati dengan menghubungi talian 03-4023 6192 atau layari laman Facebook Ee Tiong Motorsports Sdn. Bhd. di www.facebook.com/pg/hondabigwingsetapak/.