Ramai terlupa bahawa Mercedes-Benz mempunyai cabang kenderaan komersil.
Trak treler Actros, van Sprinter dan paling baharu, trak pikap X-Class adalah hasil dari unit kenderaan komersil Mercedes-Benz.
Namun semasa awal-awal dahulu, Mercedes-Benz menggunakan cara yang berbeza untuk menembusi pasaran-pasaran baharu.
Ia menggunakan rakan teknikal yang mampu menghasilkan, memasang dan mengedar produk-produk komersil Mercedes-Benz dengan efektif.
Untuk pasaran Asia Pasifik, tugas itu diserahkan kepada SsangYong Motor Company di mana ia menghasilkan van Mercedes-Benz yang popular suatu ketika dahulu, MB140.
Model MB140 banyak digunakan di Malaysia sebagai van pelancong dalam awal era tahun 2000. Harga ketika baharu melebihi RM140,000, lebih mahal dari harga Toyota Hiace dan pesaing lain dari Jepun.
Mercedes-Benz MB140D menggunakan enjin 2.9L diesel 5-silinder tanpa turbo. Model MB140 petrol pula menggunakan enjin M111 2.3L petrol. Keduanya menggunakan transmisi manual 5-kelajuan.
MB140 datang dengan pintu gelungsur sisi, pendingin hawa belakang dan mempunyai pilihan kerusi yang boleh disusun untuk memuatkan sehingga 15 penumpang.
Ia juga ada varian SsangYong dan hanya dijual di Korea dengan nama SsangYong Istana.