Setelah beberapa gambar acah diterbitkan untuk tatapan warga netizen, Polestar akhirnya melancarkan model sedan fastback Polestar 2 secara rasmi.
Model pesaing terdekat kepada Tesla Model 3 itu didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar, dan gabungan kedua-dua motor itu menghasilkan 402 hp dan 660 Nm daya tork.
Mengikut kiraan WLTP, Polestar mampu memberikan jarak operasi sejauh 500 km untuk sekali cas penuh.
Dibangunkan berdasarkan platform CMA yang turut menghasilkan Volvo XC40 dan Lynk & Co 01, casis ini menempatkan pek bateri 78 kWh yang diletakkan pada bahagian lantai.
Dakwa Polestar, dengan kedudukan bateri tersebut, ia menjadikan casis lebih kukuh dan mengurangkan kadar bunyi bising sebanyak 3.7 dB berbanding casis bernadikan enjin pembakaran dalaman.
Polestar 2 merupakan antara kereta produksi terawal yang datang dengan sistem hiburan berpaksikan Android Human Machine Interface (HMI), menampilkan skrin sesentuh bersaiz 11 inci yang memberikan akses kepada beberapa fungsi kritikal kenderaan.
Antara ciri unik yang hadir pada Polestar 2 ini ialah lampu utama jenis Pixel LED, lampu proksimiti alu-aluan, serta cermin sisi tanpa bingkai.
Harga jualan Polestar 2 ini bermula dari €39,990 (RM185,240 mengikut kadar pertukaran matawang semasa).
Polestar menawarkan pakej Performance secara pilihan yang memberikan beberapa aksesori seperti penyerap hentak Ohlins, brek Brembo, set rim forged bersaiz 20 inci, tali pinggang keledar emas, serta angkup brek berwarna emas.
Sama seperti model coupe PHEV Polestar 1, Polestar 2 EV ini akan mula dibuka tempahannya secara dalam talian sahaja, manakala skim langganan pula akan ditawarkan dalam masa terdekat.