Jika pengguna awam sukakan idea baharu ini, pihak profesional juga memperakuinya apabila Mazda3 diiktiraf dengan anugerah Red Dot: Best of the Best.
Anugerah reka bentuk produk Red Dot ini diadili oleh juri antarabangsa yang pakar dalam bidang reka bentuk dan khusus untuk produk yang luar biasa sahaja.
Anugerah Red Dot yang diterima ini sebenarnya koleksi ketujuh untuk model dengan gayaan Kodo. Model yang menerima anugerah tersebut sebelum ini ialah Mazda MX-5 RF pada 2017, MX-5 soft top, CX-3 dan Mazda2 pada 2015, Mazda3 pada 2014 dan Mazda6 pada 2013.
Satu aspek yang biasa pada kereta hari ini tetapi digugurkan pada Mazda3 ialah garisan karakter dan elemen berlebihan. Anda tidak akan menemui garis agresif pada Mazda3 kecuali permukaan yang lembut dan harmoni.
Cuma satu elemen yang ketara ialah pada tiang C model hatchback yang nampak tebal dan menonjol berbanding model lain di pasaran.
Menurut Yasutake Tsuchida Ketua Pereka Mazda3, ciri tersebut digugurkan bagi menzahirkan keaslian estetika Jepun dan mewujudkan bentuk satu arah (single-motion form) yang kelihatan ringkas tetapi pada masa sama ekspresif. Perincian pada produk ini adalah hasil tangan mereka yang mempunyai banyak pengalaman.
Selain fokus pada reka bentuk, Mazda turut memberi perhatian kepada karakter model baharu ini supaya dekat dengan pemandu dan penumpang.
Karakter Mazda3 terasa natural dengan bentangan kabin dan komponen direka bagi mencegah rasa tidak selesa dan kepenatan. Gangguan daripada luar kereta pula disingkirkan supaya tidak menggangu bahagian dalaman.
Reka bentuk bahagian dalaman tampil minimalis dan bersahaja, hanya suis dan komponen yang diperlukan sahaja.
Mazda3 juga adalah model pertama menggunakan enjin petrol Skyactiv-X dengan teknologi pencucuhan mampatan canggih yang meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api, daya kilas dan pengurangan emisi.
Kepada yang berminat, Mazda3 akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu pada 17 Julai depan. Berikut ialah varian dan harga Mazda3 CBU:
- Skyactiv-G 1.5L Sedan/Hatchback - RM139,770
- Skyactiv-G 2.0L High Sedan - RM150,059
- Skyactiv-G 2.0L High Plus Sedan/Hatchback - RM160,059
Penulis: Muhammad Md Tajudin