Pandu Uji Mazda3 di Litar Sepang - Bila pemandu dan kereta bersatu....

oleh Mohamad Hanif|
Akhirnya, Mazda3 telah selamat dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dan berita ini menerima maklum balas yang pelbagai dan bercampur-campur di laman Facebook dan YouTube kami.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, usah hiraukan semua itu kerana kami ada sebab tersendiri kenapa Mazda3 ini wajar dipertimbangkan sebagai kereta baharu anda. 

Hujung minggu yang lalu, kami diberikan peluang berkunjung ke Litar Antarabangsa Sepang untuk mengalami sendiri pemanduan di dalam kereta generasi baharu segmen C Mazda, iaitu Mazda3. 

Sesi pandu uji ringkas kali ini dibahagikan kepada dua, iaitu sesi slalom di kawasan parkir bagi menguji ciri GVC (G-Vectoring Control) Plus serta ujian pemanduan di litar bagi merasai sendiri pemanduan antara varian enjin Skyactiv-G 1.5 liter dan 2.0 liter. 

Walaupun ringkas, namun ia memberikan gambaran awal bagaimana pemanduan sebenar Mazda3 di atas jalan raya Malaysia yang cemerlang, gemilang dan tak terbilang lubang dan lopaknya.

 

G-Vectoring Control Plus - Plus Point buat Mazda3


Mazda memperkenalkan ciri GVC generasi pertama beberapa tahun yang lalu dan ia bertujuan untuk mengawal dan mengurangkan kadar efek G-force terutama ketika pemanduan. 

Sistem ini mengesan perubahan input dan tindak balas yang dilakukan terhadap sudut stereng, dan beban yang diletakkan kepada tayar hadapan. 

Berdasarkan perubahan input bacaan tadi, sistem komputer seterusnya akan menghantar 'arahan' kepada enjin untuk melaraskan kembali kuasa yang diedarkan, di samping mengalihkan beban yang terhasil pada roda hadapan tadi kepada roda belakang. 

Ini memberikan cengkaman yang lebih kepada roda, dan seterusnya kereta membelok dengan sempurna dan stabil. 

Generasi kedua GVC (digelar sebagai GVC Plus) mula diperkenalkan pada tahun lalu, dan ia secara automatik tersedia untuk semua kenderaan baharu Mazda, termasuklah Mazda3 yang kami pandu uji kali ini. 
 


Ia semestinya telah ditambah baik, menjadikan kawalan lebih jitu, lebih dekat dengan pemandu dan ini yang dirasai sendiri oleh penulis - bila pemandu dan kereta berada dalam satu alunan frekuensi yang seragam. 

Ujian slalom berjaya ditempuh dengan baik, manakala dalam ujian penukaran laluan secara tiba-tiba, kereta juga tidak beroleng dengan begitu ketara. 

Berdasarkan banding beza pemanduan yang dibuat ke atas Mazda3 model terdahulu, Mazda3 2019 boleh dikatakan lulus cemerlang!

Mazda Malaysia turut sengaja menyediakan dua buah kereta Continental - BMW 330e dan Mercedes-Benz A250 sebagai satu tanda aras kepada Mazda3 ini. 

Jujur cakap, kualiti Mazda3 sememangnya sedang menuju ke arah dua model yang disebutkan itu tadi. 

 

Mazda3 Skyactiv-G 2.0L - kuasa dan pemanduan yang seimbang


Untuk ujian pemanduan di litar Sepang, penulis diberikan model sedan yang dilengkapi dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-G. 

Dalam sesi pandu uji dalam litar, penulis sengaja menjarakkan diri daripada kelompok awal supaya dapat 'bersatu', merasai dan menghayati sendiri falsafah Jinba Ittai yang dibawakan oleh Mazda.

Atas kertas, ia mampu menjana 162 kuasa kuda dan 210 Nm, dan dengan gandingan transmisi automatik enam nisbah kelajuan, ia mampu memberikan pengedaran kuasa yang baik untuk semua keadaan. 

Pemanduan terbukti memuaskan, terima kasih kepada kombinasi harmoni casis Skyactiv, enjin Skyactiv-G, transmisi auto dan ciri GVC Plus yang disebutkan pada awal artikel. 
 


Malah, penulis juga tidak mengalami kekurangan kuasa setelah fasa membrek dan memecut semula keluar dari selekoh. 

Walaupun ada ketikanya ekor mula membuang, ciri-ciri keselamatan yang ada pada Mazda3 akan memastikan anda keluar dari selekoh dalam keadaan yang serba terkawal. 

 

Mazda3 Skyactiv-G 1.5L - bukan untuk kaki pecut


Model aras mula di dalam keluarga Mazda3 didatangkan dengan enjin 1.5 liter Skyactiv-G dengan 116 hp dan 153 Nm.

Kemasannya pula lebih ringkas, di mana ruang kabin didatangkan dengan kerusi balutan fabrik (berbanding kemasan kulit), tiada corong pendingin hawa di baris kedua dan rim pula lebih kecil, 16 inci berbanding 18 inci pada varian premium. 

Namun, dengan enjin yang kecil (orang akan bandingkan dengan sedan segmen B), adakah Mazda3 1.5 liter ini tidak bagus? 

Pada mulanya, penulis merasakan demikian, namun setelah duduk sendiri dan merasai pemanduannya (yang sengaja dijarakkan daripada kelompok awal), penulis mula menyukai apa yang ditawarkan pada model standard ini. 

Macam biasa, kawalan pemanduan yang diberikan tidak begitu jauh berbeza, cuma sekiranya anda seorang kaki pecut, anda perlu bersabar memberikan laluan kepada enjin terkecil ini untuk menyalurkan kuasa yang diperlukan. 

Pengendalian di selekoh? Lazat berkrim!
 


Penulis tidak merasakan ia lembab, akan tetapi ini merupakan pendekatan Mazda dalam memastikan setiap pemandu menikmati apa yang cuba ditawarkan dalam satu pakej arca bergerak yang premium ini. 

Ini kerana, setiap inci dan sudut pendekatan dalam pembangunan Mazda3 ini sebenarnya mengambil berat soal kebajikan (macam politik pula) pemandu dan penumpang, termasuklah aspek ergonomik dan kesejahteraan ketika pemanduan. 

Anda boleh lihat dengan sendiri bagaimana Mazda memposisikan reka letak, kemasan dan susunan kabin supaya ia lebih mesra pemandu dan juga penumpang. 

Kadar bising, kekasaran dan gegaran (NVH) juga memang tipikal sebuah Mazda, dan anda tidak akan dapat merasai keselesaan setinggi ini daripada kereta-kereta pesaing. 

 

Harga - dari RM139,620 sehingga RM160,059 - adakah berbaloi?


Harus diingatkan bahawa model sedan dan liftback Mazda3 yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan ini menjawab persoalan kenapa harganya sedikit tinggi berbanding pesaing.

Spesifikasinya juga boleh dikatakan setanding, akan tetapi seperti mana yang kami selalu ingatkan, anda perlu duduk dan rasa sendiri pengalaman pemanduan di dalam sebuah Mazda sebelum meringankan tangan komen "harganya mahal sangat!". 

Mungkin tidak keterlaluan untuk penulis katakan, Mazda kini berada di dalam kelasnya yang tersendiri. 

Atau mungkin, anda sememangnya bukan golongan sasaran untuk Mazda3 ini. 

 


Untuk spesifikasi lanjut, anda boleh merujuk pada pautan di bawah: 

Baca: Pelancaran rasmi Mazda3 di Malaysia 

 

Vlog Pandu Uji Mazda3 2019 di Litar Sepang


Vlog Pandang Pertama Mazda3 2019

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Sayang sekali, ia bukanlah merujuk kepada kelahiran semula jenama Mazdaspeed, akan tetapi mereka…
Berita Global
  Dari luar, Mazda3 untuk pasaran Jepun ini nampak sama sahaja kecuali warna baharu Ceramic…
Berita Domestik
Pemenang anugerah World Car Design 2020 dan Red Dot Design 2019 itu kini didatangkan dengan…