Nak kata April Fool, bulan empat sudah lama berlalu namun hakikatnya, Starex (atau nama rasmi di Australia iMax) kini bersedia untuk menghamburkan habuk-habuk kesan geseran tayar belakang.
Menerusi divisyen permotoran Hyundai N, mereka menghasilkan sebuah talaan one-off iMax N 'drift bus'.
Oleh kerana layout asal Starex memang didatangkan dalam bentuk pacuan roda belakang, tidak menjadi masalah untuk pasukan penala N bagi mencurahkan ilmu mereka menjadikan Starex ini sebuah drift bus yang lebih berkuasa.
Sistem suspensi telah digantikan dengan unit yang lebih rendah dan boleh dikawal secara elektronik, manakala brek standard telah pun digantikan dengan unit angkup brek empat omboh N Performance.
Bagi memastikan kuasa disalurkan dengan lebih berkesan sepanjang aksi memandu senget itu, komponen limited-slip differential telah ditambah.
Dari segi luaran, Hyundai N telah memasang beberapa komponen aerodinamik seperti splitter hadapan, diffuser belakang, serta spoiler yang bertenggek kemas di bahagian belakang.
Namun, enjin asal telah dihukum buang daerah dan digantikan dengan nadi 3.5 liter bentangan V6 turbo berkembar (!), menghasilkan kuasa yang sihat 400 PS dan 555 Nm daya kilas.
Kuasa tersebut digandingkan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.
Di bahagian dalam, van Starex ini masih mampu memuatkan lapan orang dewasa dengan selesa, dan kesemua tempat duduk dibalut dengan trim gandingan kulit dan juga Alcantara, dan diakhiri dengan jahitan N.
Jadi inilah dia, sebuah jentera drift yang masih praktikal dan mampu memuatkan lapan orang dewasa dengan selesa.
Sayang sekali, Hyundai tidak pernah terlintas untuk menghasilkan van pantas ini, namun anda masih boleh melihat aksi Drift Bus ini pada acara World Time Attack Challenge tahun ini.
Sumber: CarShowRoom Australia