Subaru WRX STi EJ20 Final Edition menggunakan model WRX STI Type S edisi khas untuk pasaran Jepun sebagai asas, dimana enjin EJ20 2.0 liter turbo itu mampu menghasilkan 304 kuasa kuda dan 422 Nm daya kilas.
Edisi terhad ini turut menampilkan kotak gear manual enam nisbah kelajuan sebagai ciri standard.
Selain daripada talaan kepada enjin EJ20 tersebut, Subaru turut menala kembali komponen yang penting seperti klac dan flywheel, manakala kuasa yang terpendam itu disalurkan kepada jalan raya menerusi tayar yang membaluti rim emas BBS 19 inci.
Model yang khusus untuk pasaran Jepun ini hanya dihasilkan dalam 555 unit terhad sebagai memperingati syarikat State Express 555 yang menjadi penaja utama Subaru dari tahun 1993 sehingga 2004.
Harga jualan Subaru WRX STI EJ20 Final Edition ini bermula dari ¥4,110,000 (RM158,517) dan tempahan akan ditutup pada 23 Disember ini - menandakan tamatnya generasi sedia ada dan ia bakal digantikan dengan generasi baharu tidak lama lagi.
Difahamkan generasi baharu WRX akan didedahkan kepada umum sebelum tahun 2020 melabuhkan tirainya dan terdapat kemungkinan besar model pengganti itu akan menggunakan enjin boxer turbo serba baharu berkapasiti 1.8 liter - nadi yang sama bakal mendiami perut Subaru Levorg.