Selain daripada projek Nissan GT-R Convertible dan Toyota GT86 Sedan yang kami siarkan sebelum ini, sekumpulan lagi pelajar NATS telah bekerjasama membangunkan sebuah Toyota 2000GT.
Namun, jika dilihat dengan lebih dekat, dimensi yang dibawakan oleh 'Toyota 2000GT' ini ternyata lari jauh daripada objek sebenar.
Ini kerana disebalik kulit Toyota 2000GT ini, para pelajar NATS sebenarnya menggunakan asas daripada sebuah kei car Suzuki Cappucino!
Casis asal Suzuki Cappucino yang comel itu telah dipanjangkan jarak antara rodanya kepada 2,310 mm, iaitu 10 mm kurang daripada jarak sebenar yang diukur daripada sebuah jentera 2000GT sebenar.
Mengikut kepada imej gambaran, Toyota 2000GT Suzuki Cappucino ini akan dipadankan dengan fender flare, spoiler yang besar, serta set rim enam belas inci yang dibaluti tayar Toyo Tires 205/45 hadapan dan 225/45 di belakang.
Sementara itu, ruang kabin juga turut diberikan perhatian dengan pemasangan kerusi sports, stereng Sparco, sistem audio Kenwood dan bumbung soft top yang boleh ditarik secara manual menggunakan tenaga tangan.
Sebagai sebuah kei-car, enjin asal 657 cc masih lagi dikekalkan dengan kuasa setinggi 63 hp dan 85 Nm yang memacu roda belakang, dan dengan penambahan kit badan dan rim yang lebih besar, kami yakin beratnya masih lagi berada dibawah paras 1 tan.
Sama-sama kita nantikan hasil akhir para pelajar NATS di Tokyo Auto Salon 2020 yang bakal menjelang tidak lama lagi.