Jika dibandingkan dengan Levorg Prototype yang dibawakan pada Tokyo Motor Show 2019, model STI ini menambah beberapa elemen yang lebih sporty kepada wagon yang sudah tersedia sporty ini.
Ini termasuklah pemakaian lencana STI, pakej yang lebih sporty dan juga set rim yang lebih agresif.
Tiada imej untuk ruang kabin didedahkan buat masa ini, namun Subaru menjanjikan beberapa teknologi baharu buat wagon ini seperti penggunaan penyerap hentak yang dikawal secara elektronik, serta ciri pertama untuk sebuah Subaru - mod pemanduan "Drive Mode Select".
Ciri "Drive Mode Select" itu tadi membenarkan pemandu mengubah beberapa tetapan terhadap sistem pacuan semua roda, input stereng dan juga kadar respons enjin.
Subaru Levorg Prototype STI merupakan gambaran masa hadapan wagon pantas yang bakal diproduksikan oleh Subaru menggunakan pelantar Subaru Global Platform.
Butiran berkenaan trenkuasa masih lagi samar-samar, namun diberitakan model STI akan hadir dengan enjin boxer empat silinder 2.0 liter yang mampu menghamburkan 300 kuasa kuda.
Manakala model asas Levorg pula akan dilengkapkan dengan enjin 1.8 liter boxer dengan angka yang masih lagi menjadi rahsia Subaru.