Mugen pada waktu tersebut memperlihatkan sebuah konsep yang digelar sebagai Honda Civic Mugen RR Advanced Concept yang sangat kena dengan rupa bentuk Civic FD sebagai sebuah sedan berprestasi tinggi dari Honda.
Namun, apabila Civic Type R sudah berganti model, hasil kerja Mugen untuk jentera pacuan roda depan tersebut terus membuatkan penulis rasa mahu menerajang pokok di tepi jalan.
Lupakan sebentar 'jasa' Mugen pada Civic Type R, kerana pada tahun ini, penala yang sememangnya terkenal dengan jenama Honda itu telah membawakan bukan satu, tapi dua buah konsep untuk Honda Fit/Jazz 2020.
Konsep yang dibawakan kali ini agak unik kerana Mugen menggunakan sebuah Jazz untuk mempamerkan dua konsep yang berbeza iaitu 'Dash' dan 'Skip'.
Di sebelah kanan, konsep Dash dengan warna merah menyala ini secara automatik menjadikan rupa bentuk Jazz yang sopan menjadi lebih garang.
Antara perubahan yang dibawakan termasuklah spoiler bawah hadapan, spoiler sisi, spoiler belakang, peredam bunyi sports, gril hadapan daripada gentian karbon, pelindung cermin sisi serta hiasan pelekat pada sisi kereta.
Penampilan ini diserikan lagi dengan penggunaan rim Mugen 17 inci di keempat-empat sudut.
Model 'Skip' pula menerima aksesori seperti spoiler hadapan, spoiler sisi, spoiler belakang, kemasan pada gril hadapan dan terdapat pelekat pada cermin sisi.
Konsep 'Skip' pula jika diperhatikan tidaklah lari jauh daripada konsep 'Dash' yang lebih garang, akan tetapi diberikan layangan warna dua tona hijau dan putih.
Set rim masih sama, rim Mugen bersaiz 17 inci.
Sementara itu, ruang dalaman tidak banyak perubahan yang dibawakan, selain mengubah punat mula, alas karpet, dan kemasan gentian karbon pada beberapa bahagian.
Setakat ini, Mugen masih belum memberitahu bilakah masa yang sesuai untuk menjual kit badan ini.
Sumber: Response.jp