Kejadian dipercayai di Plaza Tol Kampung Lekir Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Sitiawan itu menyebabkan siren berbunyi dan beberapa pengguna lain terpaksa memberhentikan kereta untuk memberi laluan kepada kumpulan motosikal berkenaan.
Menerusi dua rakaman video berdurasi 16 dan 30 saat yang dikongsi di media sosial, didapati ada penunggang motosikal berjaya melepasi laluan berpalang tol dan sebahagiannya melalui celah bahagian tengah palang tol.
Petugas yang menyedari keadaan itu segera menghampiri kumpulan berkenaan dan berlaku sedikit kekasaran terhadap seorang penunggang berikutan tindakan mereka yang tidak menggunakan lorong motosikal sedia ada.
Link ke video tersebut di sini: tunggang di laluan berpalang
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim ketika dihubungi berkata, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun, pihaknya mengambil maklum mengenai video yang tular itu dan menasihatkan pengguna mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
"Tiada laporan polis (berhubung kejadian seperti yang tular) setakat ini. Penunggang motosikal sepatutnya menggunakan laluan yang disediakan untuk kenderaan itu," katanya.
Sumber: Sinar Harian