Malah, berdasarkan laporan yang pernah kami paparkan sebelum ini, bateri EV yang ada pada sebuah Nissan LEAF terbukti mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding jangka hayat kereta itu sendiri.
Sebuah lagi contoh yang kami ingin paparkan kepada anda adalah model daripada rakan sepakatannya - Renault Zoe.
Apa yang membuatkan kami kagum dengan Renault Zoe ini bukanlah jarak perbatuannya yang kini mencecah 345,000 kilometer (!), akan tetapi tahap kesihatan baterinya yang masih hampir sempurna, iaitu 96 peratus!
Berita ini dikongsikan oleh kelab 'rasmi' Renault Zoe di Twitter, di mana pemiliknya, sorang pemandu teksi (ya, Renault Zoe sebagai teksi!) menunjukkan tahap kesihatan baterinya pada angka 96 peratus, dengan kapasiti yang boleh digunakan adalah 82.1 peratus daripada kapasiti penuh 52 kWh.
Apa yang lebih menakjubkan, pemilik tersebut tidak mengalami sebarang masalah langsung dengan prestasi, dan tidak pernah menukar pek bateri sepanjang tempoh pemilikan.
Antara masalah utama yang akan timbul pada bateri lithium-ion adalah proses degradasi di mana ia akan semakin berkurangan sekiranya ia kerap mencapai kapasiti 0 peratus dan dicas sehingga kapasiti penuh 100 peratus.
Jadi, bagaimana untuk memastikan jangka hayat bateri kekal tahan lama?
Langkah standard yang disarankan adalah mengecas EV anda sehingga ke tahap kapasiti 80 peratus sahaja, dan tidak sekali-kali menggunakannya sehingga kurang daripada 20 peratus.
Menurut seorang pemilik Zoe di Malaysia, Renault Zoe merupakan sebuah model yang sangat 'manja', di mana hanya alat pengecasan yang bersesuaian sahaja dibenarkan untuk mengecas kereta elektrik tersebut.
Tambahan pula, sistem penyejukan aktif yang digunakan merupakan antara faktor yang memanjangkan lagi tahap kesihatan bateri Renault Zoe.
Sumber: The Driven