Syarikat PT Toyota Astra Motor dilaporkan akan melancarkan model facelift tersebut dalam masa terdekat apabila tempahan sudah pun boleh dibuat di beberapa buah pengedar di negara tersebut.
Terima kasih kepada laman automotif negara jiran, GridOto.com, kita boleh menyaksikan beberapa butiran yang lebih terperinci berkenaan Agya facelift 2020.
Dimulakan di bahagian muka Toyota Agya, rekaan bumper yang lebih agresif dibawakan dan boleh kami katakan gril berbentuk trapezium itu dipinjamkan daripada saudaranya di Jepun, Toyota Raize.
Selain daripada kit badan keliling, Agya facelift ini juga menampilkan spoiler belakang yang diwarnakan hitam, besar kemungkinan ini merupakan varian yang lebih tinggi (TRD-S).
Satu perkara yang menarik perhatian adalah rekaan lampu belakang Toyota Agya facelift 2020 kini memabawakan bentuk L berkembar, di mana L yang lebih kecil berkemungkinan membawakan fungsi reflektor.
Rekabentuk papan pemuka juga membawakan rekaan yang lebih kurang serupa, namun didatangkan dengan ciri moden seperti butang pandu mula/berhenti, sistem pendingin hawa digital dan sistem infotainmen jenis skrin sentuh.
Difahamkan, menurut GridOto, Agya facelift 2020 merupakan model pertama di bawah kelas Low Cost Green Car (LCGC) yang membawakan ciri butang pandu mula/berhenti.
Toyota Agya facelift akan dilancarkan secara rasmi pada 19 Mac 2020.
Sumber: GridOto