Projek ini bukan setakat sekali sahaja (one-off) malah ditawarkan secara terhad kepada pelanggan yang berminat.
Satu perkara mengenai Rolls-Royce apabila ia dibina untuk berjalan dengan senyap dan penghantaran kuasa yang lancar seakan dipandu menggunakan gear berterusan.
Penukaran kepada rangkaian kuasa elektrik mengiyakan lagi karakter tersebut.
Dari segi teknikal, Rolls-Royce Phantoms by Lunaz dibekalkan pek bateri 120 kWh dan boleh dipandu lebih 482 kilometer.
Setiap kereta yang disiapkan oleh Lunaz akan menjalani proses pemuliharaan menyeluruh dengan komponen ditanggalkan sehingga tinggal besi.
Ia kemudian akan diimbas secara tiga dimensi, ditimbang dan dibaik pulih sepenuhnya sebelum proses penukaran dan rekayasa semula dilakukan.
Proses itu membolehkan para pelanggan untuk menambah idea dan teknologi yang mereka mahu dibawah panduan Pengarah Reka Bentuk Lunaz, Jen Holloway.
Pada bahagian luar, Rolls-Royce Phantom V by Lunaz menggunakan skema warna dua tona iaitu Midland Grey di sebelah atas dan Cinereous Greydi di bawah.
Satu ciri menarik pada Rolls-Royce Phantom V by Lunaz ialah telefon jenis bakelite (telefon jenis nombor berputar klasik) dikekalkan dan dinaik taraf dengan teknologi moden telefon selular.
Rolls-Royce Phantom V by Lunaz mempunyai lapan tempat duduk dengan tiga di hadapan, tiga di kerusi belakang dan dua kerusi jenis boleh lipat.
Mengekalkan karakter asal adalah penting untuk kereta sebegini. Perincian yang dibuat termasuk penelitian peralatan suis (switchgear) yang direkayasa supaya dapat mengoperasikan rangkaian kuasa baharu mengikut tindak balas haptik sama seperti asal.
Meter pada papan pemuka turut membawa pengaruh rekaan 60-an selain integrasi meter jarak bateri dan tolok kuasa.
Dari segi pembekalan kuasa, setiap kereta yang dikeluarkan Lunaz dilengkapi keupayaan untuk pengecasan di rumah dan pengecasan pantas.
Pengeluaran kumpulan pertama kenderaan Rolls-Royce cars by Lunaz (turut ditawarkan ialah Rolls-Royce Silver Cloud by Lunaz) dihadkan kepada 30 unit sahaja.
Setiap Rolls-Royce elektrik yang dikeluarkan Lunaz ditawarkan di peringkat antarabangsa dan pembahagian unit hanya boleh disahkan melalui perhubungan terus dengan Lunaz.
Harga untuk Rolls-Royce Phantom by Lunaz bermula dari £500,000 (RM2,736,838) tidak termasuk cukai setempat.
Jumlah itu dilihat berpadanan untuk sebuah Rolls-Royce yang ikonik dan bernadikan teknologi canggih.
Penulis: Muhammad Md Tajudin