Arkana pasaran Eropah dibina dari platform CMF-B yang turut digunakan pada Clio dan Captur baharu.
Pengenalan Arkana menambah tawaran SUV sedia ada iaitu Captur baharu dan Kadjar.
Dari segi saiz, Arkana sedikit panjang berbanding Megane Hatchback. Ukuran Arkana ialah 4,568mm panjang, 1,571mm tinggi dan lebar 2,720mm.
Bentuk badan coupé tidak menghadkan ruang simpanan dan kapasiti muatan ialah 513 liter selain fungsi kerusi yang boleh dilipat rata sepenuhnya.
Arkana mempunyai beberapa pilihan enjin iaitu hibrid penuh dan 1.3 liter empat silinder turbo pancitan terus (TCe) yang digabung bersama teknologi hibrid sederhana (mild-hybrid).
Nadi hibrid penuh Arkana menggabungkan enjin 1.6 liter petrol dengan dua motor elektrik dan bateri litium-on dan menghasilkan 140hp.
Arkana menggunakan kotak gear tanpa klac pelbagai mod E-TECH dengan teknologi yang disesuaikan dari jentera Formula 1.
Juga ditawarkan enjin 1.3 liter empat silinder turbo pancitan terus TCe. Dipadan bersama transmisi automatik dua klac DCE, enjin itu menghasilkan 140hp.
Enjin itu juga tersedia dengan teknologi hibrid sederhana (mild hybrid) dan mempunyai bateri lithium-ion 12V yang ditempatkan di bawah kerusi penumpang.
Enjin 1.3 liter TCe 140 menghamburkan tork 260Nm dari serendah 1,600rpm dan kombinasi baik untuk penjimatan bahan api dan pengalaman pemanduan menyeronokkan.
Untuk keselamatan, pembeli Arkana ditawarkan teknologi canggih seperti Motorway & Traffic Jam Companion, Kawalan Pandu Suai dengan Stop & Go.
Turut ditawarkan Sistem Pembrekan Kecemasan Aktif (AEBS), Amaran Titik Buta, Pengecaman Isyarat Jalan Raya, Amaran Penukaran Susur dan Bantuan Pengekalan Susur.
Harga Renault Arkana belum dimaklumkan dan SUV coupé ini boleh ditempah pada Julai 2021 dengan penghantaran pertama dijadual pada September 2021.
Penulis: Muhammad Md Tajudin