Menurut CEO Polestar Thomas Ingenlath berkata, pihaknya merancang untuk menggandakan jumlah pusat pameran di pasaran sedia ada, selain meluaskan lagi penguasaan pasaran di rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah dalam tempoh 18-24 bulan akan datang.
Ketika ini, Polestar menghasilkan model fastback Polestar 2 di China, dan mempunyai kira-kira 23 unit pusat pameran di seluruh dunia di mana angka tersebut dijangka meningkat kepada 45 unit menjelang akhir tahun 2020.
Pasaran Asia Pasifik dan Timur Tengah dijangka bakal ditembusi bermula tahun hadapan, tanpa memberitahu negara manakah yang bakal disasarkan.
Selain daripada itu, terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan Polestar 2 dengan opsyen motor elektrik tunggal, bertujuan untuk menjadikan pemilikan EV tersebut lebih mampu milik.
Walaubagaimanapun, Ingenlath mahu Polestar untuk kekal menjadi sebuah jenama premium, dan ini memberikan gambaran bahawa harga jualan tidak akan menurun mendadak.
Dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, beliau mahukan Polestar mencapai sasaran jualan melebihi 50,000 unit setahun, sebelum produk baharu mereka tiba - sebuah SUV.