Pada bahagian luar, Mégane Hatch dan Sport Tourer tampil dengan komponen baharu seperti bampar depan dan belakang baharu, gril dan lampu LED depan dan belakang.
Untuk pengguna yang mahukan penampilan sporti, Renault menawarkan varian R.S. Line dengan roda aloi Monthlery 17 inci dan 16 inci bagi varian Iconic.
Mégane R.S Line mempunyai beberapa lagi perbezaan seperti reka bentuk lampu kabus, bampar depan dengan bentuk memanjang ala F1 dan bampar belakang bersama diffuser serta muncung ekzos berkembar krom.
Pada bahagian dalam, R.S Line dilengkapi stereng balutan kulit berliang, padel aluminium, kerusi sport dengan kemasan ala karbon dan sulaman merah dengan kelabu dan pelapik bumbung hitam.
Standard untuk R.S Line ialah skrin Paparan Maklumat TFT 10 inci untuk pelbagai bacaan penting buat pemandu.
Dari segi rangkaian kuasa, Mégane Sport Tourer kini dilengkapi nadi plug-in hybrid baharu dengan teknologi E-TECH yang membawa pengaruh teknologi canggih F1.
Teknologi yang dibangunkan oleh jurutera Renault itu mempunyai 150 paten dan menggunakan komponen yang direka oleh Pakatan (Alliance Renault Nissan Mitsubishi).
Nadi plug-in hybrid terdiri daripada enjin 1.6 liter petrol dengan bateri 9.3kWh dan kotak gear tanpa klac pelbagai mod.
Gabungan kedua-dua nadi menghasilkan 160hp dengan enjin mempunyai daya kilas 144Nm dan 205Nm dari motor elektrik seterusnya menyumbang kepada pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 9.8 saat.
Satu ciri menarik pada rangkaian kuasa E-TECH ialah kereta sentiasa dihidupkan dalam mod elektrik dan boleh dipandu sehingga 48 kilometer dengan sifar emisi.
Ada tiga mod pemanduan untuk Mégane Plug-in Hybrid iaitu Pure, MySense dan Sport.
Dua lagi enjin ialah sedia ada ialah TCe 140 dan dCi 115 untuk kedua-dua Mégane Hatch dan Sport Tourer.
Kedua-dua enjin boleh dipadan bersama transmisi enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan EDC (Efficient Dual Clutch).
Untuk keselamatan, model R.S Line dilengkapi Active Emergency Braking System (AEBS) sebagai ciri standard.
Berkenaan harga, varian paling mampu milik iaitu Mégane Hatch Iconic TCe 140 dijual pada £21,495 (RM115,793).
Varian paling premium Mégane Sport Tourer R.S. Line E-TECH Plug-in Hybrid 160 Auto pula berharga £32,995 (RM177,743).
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Foto: Renault