Idea ini adalah lebih kurang sama dengan sistem hibrid konvensional yang terdapat pada kereta, di mana enjin pembakaran dalaman digunakan sebagai sumber tenaga utama, manakala bantuan motor elektrik pula boleh digandingkan ketika tujuan mendesak, seperti contoh pecutan secara tiba-tiba.
Menerusi video berdurasi 1 minit 40 saat itu, Kawasaki memperlihatkan prototaip di mana motosikal itu menggunakan tenaga elektrik sepenuh masa ketika tunggangan kelajuan rendah, namun apabila kelajuan semakin meningkat, khidmat enjin digunakan.
Prototaip ini juga turut memperlihatkan penggunaan sistem transmisi kelajuan tunggal yang memiliki nisbah bersamaan dengan gear keenam.
Untuk permulaan tunggangan dan pecutan, ia hanya bergantung sepenuhnya kepada daya kilas maksimum yang boleh dicapai oleh sesebuah motor elektrik.