Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Polestar baru-baru ini mengumumkan slot terakhir produksi untuk model Polestar yang masih tersedia sebelum syarikat itu menghentikan produksi menjelang akhir tahun ini.
Polestar 1 pada asalnya dirancang penghasilannya sebanyak 1,500 unit dalam tempoh tiga tahun bertempat di fasiliti Chengdu, China, namun sehingga kini Polestar masih lagi tidak mendedahkan secara rasmi bilangan model Polestar 1 yang sudah keluar dari barisan pengeluaran.
Menurut laporan daripada Autocar UK, sehingga tahun lalu sebanyak 65 unit sahaja model Polestar 1 didaftarkan di seluruh Eropah.
Pun begitu, Polestar menekankan bahawa model Polestar 1 masih kekal sebagai sebauh model dengan kadar penghasilan yang rendah, manakala fokus produksi massa ditumpukan kepada model Polestar 2.
Polestar 1 dikuasakan oleh trenkuasa plug-in hybrid, terdiri daripada enjin petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo dan pengecas lampau, serta gandingan dua motor elektrik pada gandar belakang.
Secara keseluruhan, ia mampu menghamburkan angka output setinggi 600 kuasa kuda dan 1,000 Nm, sementara pek bateri berkapasiti 34 kWh membenarkan perjalanan sifar emisi sejauh 150 km - jarak terpanjang untuk sebuah model PHEV.
Antara ciri lain yang dilengkapkan termasuklah binaan badan daripada gentian karbon, sistem brek enam omboh Akebono dan peredam Öhlins boleh laras yang digelar sebagai Continuously Controlled Electronic Suspension (CESi).
Di pasaran Eropah, Polestar 1 dijual pada harga bermula dari £139,000 (RM777 ribu).
Sumber: Autocar UK