Ia juga merupakan kali pertama FAA memberikan lesen kebenaran secara rasmi kepada penyedia perkhidmatan penerbangan untuk membawa penumpang, sekaligus membuktikan program pengujian yang dijalankan oleh Virgin Galactic menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh FAA.
Sebelum ini (22 Mei), Virgin Galactic telah mengadakan ujian penerbangan kali ketiga yang melibatkan kru penerbangan, serta ujian kali pertama ke angkasa lepas dari Spaceport Amerika, New Mexico.
Dalam ujian tersebut, mereka berjaya mencapai kelajuan sepantas Mach 3 (3,704.4 km/j) pada altitud setinggi 89.32 km (lapisan atmosfera ketiga, atau mesosfera).
Ketika ujian penerbangan, para jurutera turut mengumpulkan data-data penting berdasarkan sistem kawalan penerbangan terbaharu, roket penstabil mendatar yang telah dinaiktaraf serta persekitaran kabin bagi memastikan kesemuanya berfungsi seperti yang dijangkakan.
Selain daripada itu, ujian penerbangan Mei yang lalu turut merangkumi tiga eksperimen graviti mikro sebagai sebahagian daripada Flight Opportunities Program NASA, di mana juruterbang perlu menggunakan lintasan yang spesifik untuk memenuhi objektif eksperimen itu.