Kini, skuter WMoto Xtreme 150i rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM9,588 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Malah, WMoto Xtreme 150i ini juga turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian Motorcycle Assessment Program in Malaysia (MyMAP) yang dijalankan oleh MIROS, terima kasih kepada kelengkapan ciri keselamatan ABS dua saluran.
WMoto Xtreme 150i didatangkan dengan enjin silinder tunggal SOHC 149.3 cc yang menghasilkan 12.1 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 11.8 Nm @ 5,000 rpm, serta memenuhi piawaian Euro 4.
Selain itu, skuter 150 cc ini juga turut dilengkapi dengan rim bersaiz 14 inci, sistem suspensi USD di bahagian hadapan dan penyerap hentak tunggal dengan pelarasan pra-muatan di bahagian belakang.
Dengan berat sekitar 143 kg dan kapasiti tangki sebesar 11 liter (antara yang terbesar dalam kelasnya), Xtreme 150i dikatakan mampu membenarkan tunggangan sehingga 400 km untuk setangki penuh.
Ciri kemudahan lain termasuklah unit lampu nyalaan siang LED, paparan digital LCD, ruang storan besar di bawah tempat duduk yang mampu memuatkan helmet full-face, slot pengecasan USB, soket 12 V serta pelindung angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.
WMoto Xtreme 150i boleh didapati dalam dua warna iaitu merah dan kelabu, dengan jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km yang mana terdahulu.