Di Sepanyol, Toyota baru-baru ini melancarkan sebuah kenderaan komersial ringan menggunakan asas daripada generasi keempat Toyota Yaris, iaitu Yaris ECOVan.
'ECOVan' ini jika dilihat dari segi luaran, ia sama sahaja dengan versi kereta penumpang Yaris TNGA yang telah dilancarkan kira-kira setahun lalu.
Namun, tempat duduk baris kedua telah pun dibuang bertujuan untuk membolehkan ruang belakang yang lebih besar sehingga 720 liter (dan berat sehingga 430 kg) berbanding 286 liter pada Yaris versi lima tempat duduk.
Lantai yang rata itu menggunakan bahan kayu yang dialas dengan karpet getah yang tahan lasak.
Terdapat grid pemisah yang dipasang di belakang tempat duduk serta cagak khas yang boleh digunakan untuk memastikan barangan terletak dengan kemas.
Toyota ECOVan ini hanya didapati dalam versi hibrid sahaja, di mana trenkuasa itu terdiri daripada enjin 1.5 liter dan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa gandingan 114 hp dan 120 Nm, serta padanan transmisi e-CVT.
Dari segi penawaran, Yaris ECOVan ini boleh didapati dalam dua varian, iaitu varian asas Business Plus yang merangkumi ciri Toyota Safety System, skrin infotainmen tujuh inci, sistem pendingin hawa dan rim aloi 15 inci, manakala varian Active Tech pula menambah ciri seperti lampu LED, skrin infotainmen lapan inci, kemasukan tanpa kunci pintar, serta roda stereng balutan kulit.
Harga jualan Yaris ECOVan sedikit mahal berbanding Yaris lima tempat duduk, iaitu bermula dari €23,373 (RM117,049) hingga €24,498 (RM122,683) untuk versi tertinggi.