“Apabila nak buat satu majlis, pastikan majlis itu dalam keadaan terkawal iaitu mesti ada melibatkan pihak polis dan MKN. Kawalan itu penting kerana konvoi mesti kena dapat kebenaran daripada pihak berwajib supaya diketahui pergerakan tersebut.
“Pesan saya dalam Bulan Kemerdekaan supaya lebih berhati-hati dengan mengambil inisiatif sendiri untuk pastikan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan sanitasi,” ujarnya.
Menurut Khairul Ridzuan, sebarang aktiviti yang dilakukan tanpa kebenaran akan menjadi satu kesalahan memandangkan negara masih berdepan bencana Covid-19.
Ujar beliau, semua permohonan aktiviti konvoi merdeka akan diperiksa dan disetujui dengan sewajarnya.
Katanya, kelulusan hanya akan diberikan berdasarkan kes-kes tertentu sekiranya melibatkan jabatan kerajaan selain individu terlibat perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19.
Ujar Khairul Ridzuan, dengan pertambahan kes baru Covid-19 di Perak yang agak tinggi antara 800 dan 1,000 sehari, pihaknya akan lebih berhati-hati membuat sebarang keputusan.
Katanya, tindakan tersebut bukan untuk menyekat program-program bersifat kenegaraan tetapi ia dilaksanakan bagi memastikan komuniti selamat dalam tempoh pandemik.
Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Kebangsaan Bersama Media Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Ipoh hari ini.
Seramai 40 petugas media daripada pelbagai agensi mengambil bahagian dalam sambutan tersebut yang dirasmikan Pengarah Penerangan Perak, Mohd Taib Ubah.
Menurut Mohd Taib, media memainkan peranan penting bagi membantu menyemarakkan semangat patriotik di kalangan rakyat.
Menurutnya, sebagai rakan strategik Jabatan Penerangan, pihaknya akan terus menjalin kerjasama baik dengan media.
“Peranan media dalam menyebarkan hari kebangsaan dan semangat patriotis memang jelas seperti mana dapat kita lihat di media-media cetak dan media-media elektronik.
“Kita nampak lah kalau sekiranya media tak berperanan maka tidak nampak lah hari-hari kebangsaan tu lebih meriah,” katanya.