Tiga unit e-Palette diberhentikan minggu lalu selepas salah satu darinya telah melanggar dan mencederakan seorang atlet Jepun yang cacat penglihatan di sebuah simpang di dalam kawasan perkampungan moden tersebut.
"Pengesan objek pada e-Palette itu mengesan pejalan kaki yang melintas dan terus menghidupkan brek automatik.
Dalam masa yang sama, operator kenderaan itu juga menghidupkan brek kecemasan. Namun begitu, kenderaan dan pejalan kaki itu bertembung jua sebelum ia berhenti sepenuhnya," menurut keterangan Toyota semalam.
Atlet tersebut, Aramitsu Kitazono cuma mengelami kecederaan yang tidak serius tetapi terpaksa menarik diri dari pertandingan Judo Paralimpik pada Sabtu itu kerana luka-luka dan lebam.
e-Palette ialah sebuah "pod" elektrik yang boleh dipandu sendiri dan ia bertugas membawa penumpang di dalam perkampungan Olimpik lalu dan Paralimpik sekarang.
Walaupun ia adalah kenderaan berautonomi sepenuhnya, seorang operator diletakkan di dalam e-Palette untuk situasi kecemasan.
Untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali, Toyota kini memberikan kawalan kepada operator agar kelajuan kini boleh dikawal secara manual.
Selain dari itu, dua kakitangan tambahan kini turut diletakkan di dalam pod elektrik itu untuk memerhatikan pejalan kaki.
Dengan tiga orang tenaga manusia diperlukan untuk kenderaan canggih itu, ia kini dilihat sebagai bukti teknologi pandu kendiri masih belum matang kerana teksi elektrik biasa cuma memerlukan seorang sahaja pemandu.
*Laporan dari Reuters