Berbeza dengan perlumbaan hari Sabtu, perlumbaan pada hari Ahad menjadi lebih mencabar yang ditambah dengan cuaca hujan menjadikan keadaan litar menjadi lebih licin serta medan penglihatan yang agak terhad.
Keadaan litar yang serba mencabar itu memberikan kelebihan buat pelumba pasukan M7 Japan Project Team, Syafiq Ali merampas kedudukan pertama dari Mitchell Cheah (23 Motors), sementara tempat ketiga pula disandang oleh rakan sepasukan Faidzil Alang.
Sementara kelas Sporting pula menyaksikan kelebihan besar buat pelumba pasukan Crestmax Motorsport, Adam Khalid yang bangkit dari kedudukan ke-15 untuk meraih tempat pertama dalam perlumbaan 20 pusingan itu.
Di belakang Adam, Mirza Syahmi Mahzan (Aylezo Motorsport) menduduki tangga kedua diikuti oleh Eric Yong.
Di dalam kelas Rookie, pemandu berusia 17 tahun Amer Harris berjaya melintas garisan penamat di tangga pertama diikuti oleh Mika Hakimi dan Putera Adam di tempat ketiga.
Di tangga keempat merupakan Naquib Azlan yang gagal untuk mengekalkan penguasaan seperti yang dibuat pada hari semalam.
Sementara itu, pelakon Shukri Yahaya berjaya meraih kemenangan kedua di dalam perlumbaan kedua hujung minggu lalu dengan kelebihan 7.1 saat di hadapan Nabil Ahmad, sementara pelakon Zizan Razak berjaya menduduki tangga ketiga.
Dengan masing-masing meraih dua kemenangan, kedua-dua Shukri dan Zizan mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi juara keseluruhan di dalam Kelas Promotional.
Pusingan ketiga Vios Challenge akan berlangsung pada 20-21 November 2021 bertempat di Litar Sepang, namun kali ini ia akan menampilkan format perlumbaan waktu malam!