Malah sebelum ini Careta pernah menyiarkan sebuah model jam tangan tourbillon yang dicipta khas bertemakan Bugatti Chiron dengan tanda harga kluster kayangan.
Terbaharu, Jacob & Co tampil dengan sebuah lagi model binaan sekali (one-off) yang digelar sebagai Bugatti Chiron Blue Sapphire Crystal.
Seperti namanya, jam tangan tourbillon ini menampilkan casis yang diperbuat sepenuhnya daripada kaca kristal sapphire berwarna biru yang mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.
Di bahagian bawah jam ini turut menampilkan tiga unit crown yang turut diperbuat daripada bahan yang serupa.
Selain daripada itu, rekaan penutup bahagian belakang yang lutsinar itu membolehkan anda melihat sebahagian daripada 51 buah permata serta menikmati mekanisme pergerakan jam tangan yang dipasang menggunakan tenaga tangan ini.
Jam tangan yang mahal ini turut dilengkapi dengan sistem perlindungan hentakan, selain kemasan emas ros 18 karat, tali jam getah, serta buckle yang menggunakan bahan emas ros 18 karat.
Akhir sekali, ia menampilkan ciri yang sama seperti jam tourbillon yang lain, terutama replika enjin W16 dengan komponen 'omboh' yang boleh bergerak.
Hanya satu unit sahaja yang dihasilkan menggunakan bahan kaca sapphire ini dengan harga jualan bermula dari $1.5 juta (RM6.3 juta).