Mengambil asas daripada varian 1.0 Turbo VL Sportech, versi Sportech-X ini didatangkan dengan penambahan ciri seperti rim aloi bersaiz 16 inci rekaan baharu, tip ekzos krom, serta emblem Sportech-X pada beberapa tempat.
Untuk ruang kabin pula didatangkan dengan pedal sport, sistem pencahayaan ambien merah, kerusi balutan kulit Sportech-X, dan alas lantai Sportech-X.
Dari segi kuasa, Nissan Almera masih mengekalkan nadi tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa 100 PS dan 152 Nm, dipadankan dengan transmisi XtronicCVT dengan D-Step Logic.
Sistem gantungan sedan segmen B ini terdiri daripada topang MacPherson dengan spring gegelung Tokico dan bar anti-oleng, sementara bahagian belakang pula menampilkan sistem torsion beam, spring gegelung Tokico dan bar penstabil.