e-POWER generasi kedua
Komponen e-POWER terbaru ini terdiri daripada motor elektrik dan penyongsang (inverter) yang diletakkan di dalam satu perumah dan menjadikannya 30 peratus lebih ringan.
Bateri baharu lithium-ion 2.06 kWj pula mempertingkatkan lagi kecekapan sehingga 30 peratus berbanding versi dahulu.
Hasilnya, kuasa maksimum meningkat kepada 136 PS dan daya kilas maksimum 280 Nm berbanding 129 PS dan 260 Nm sebelum ini.
Ini menjadikan kereta lebih berkuasa dengan pecutan dan respon lebih lancar.
Selain itu, penggunaan petrol ialah 26.3 kilometer per liter untuk pemanduan bandar dan purata 23.8 kilometer per liter bagi pelbagai mod pemanduan.
Nissan Safety Shield® 360
Kicks e-POWER 2022 mempunyai kelengkapan tambahan Amaran Penukaran Lorong dan Bantuan Lampu Puncak.
Fungsi itu adalah tambahan kepada teknologi sebelum ini seperti Kawalan Jejalah Pintar, Pembrekan Kecemasan Pintar, Amaran Pelanggaran Berdepan dan Amaran Titik Buta.
Kemasan dalaman berbeza
Nissan telah merekabentuk semula dalaman Kicks e-POWER 2022 supaya nampak lebih moden dan selesa.
Tombol gear langsung berbeza daripada sebelum ini dan dikatakan lebih mudah untuk dikendalikan.
Bahan sentuh lembut berkualiti tinggi diguna pada beberapa bahagian seperti perehat lengan dan konsol tengah.
Pemegang cawan pula boleh memuatkan pelbagai saiz cawan dan botol air susulan kajian mendalam terhadap pelanggan.
Selain itu model 2022 dilengkapi NissanConnect dengan fungsi sambungan Android Auto dan Apple CarPlay
Kicks e-POWER AUTECH
Buat kali pertama Kicks e-POWER AUTECH diperkenalkan di Thailand. Berbeza dengan NISMO, varian AUTECH tampil dengan konsep Premium Sporty atau lebih elegan.
Perbezaan utama ialah kit badan dari depan hingga ke belakang dan roda aloi yang berbeza.
Skema warna juga tidak sama dengan warna dua tona hitam dan pilihan Night Blue, Gun Metallic Gray dan Storm White.
Warna tunggal pula satu pilihan saja iaitu Black Star. Bahagian dalam turut menggunakan tema hitam selain riasan berwarna perak.
Harga lebih rendah!
Kicks e-POWER terdahulu dijual dari 889,000 Baht sehingga 1,049,000 Baht atau bersamaan RM120,522 dan RM142,218 pada masa itu.
Harga terbaru lebih rendah seperti berikut:
- Gred E : 759,000 Baht (RM95,845)
- Gred V : 829,000 Baht (RM104,684)
- Gred VL : 899,000 Baht (RM113,524)
- Gred AUTECH: 949,000 Baht (RM119,838)
Waranti
Kereta elektrifikasi perlu mempunyai waranti yang bagus bagi menunjukkan keyakinan pengeluar itu sendiri.
Nissan Thailand memberikan lima tahun waranti atau jarak pemanduan 150,000 kilometer.
Sistem pemanduan e-POWER sejauh 100,000 kilometer atau lima tahun dan 10 tahun untuk bateri e-POWER.
Pelanggan turut menerima pakej SAVE SAFE Platinum yang merangkumi lima tahun penyelenggaraan berkala.
Penulis: Muhammad Md Tajudin