Digelar sebagai Dodge Charger Daytona SRT Concept, Dodge Charger kini kembali membawakan bentuk badan kereta muscle dua pintu, dengan sistem trenkuasa baharu Banshee, senibina 800-voltan, sistem pacuan semua roda dan dikatakan lebih berkuasa berbanding enjin SRT Hellcat.
Selain daripada itu, Dodge Charger elektrik ini juga unik kerana menampilkan transmisi berbilang kelajuan eRupt dengan fungsi penukaran gear elektro-mekanikal yang mampu memberikan pemanduan yang lebih mengujakan kepada para peminat kereta muscle klasik.
Tiada satu pun tabung NOS dibekalkan, akan tetapi terdapat ciri PowerShot yang mampu meningkatkan angka kuasa kuda untuk pecutan segera.
Sudah pasti ramai yang tertanya, bagaimana pula dengan sistem bunyi yang bakal dihasilkan oleh kereta muscle berkuasa elektrik ini?
Menurut Dodge, Charger EV ini mampu menghasilkan runut bunyi yang 'mengejutkan', terima kasih kepada sistem Fratzonic Chambered Exhaust yang kini sedang menunggu kelulusan paten.
Sistem yang dibangunkan khusus untuk Charger Daytona SRT Concept ini mampu menghasilkan bunyi sekuat 126 dB menyamai model SRT Hellcat, terdiri daripada unit amplifier dan kebuk talaan yang terletak di bahagian belakang jentera.
Dari segi rekaan, Charger EV ini dilihat membawakan penghormatan kepada rekaan asal Charger Daytona dengan garis badan yang dimodenkan, dibantu dengan ciri seperti R-Wing di bahagian depan yang membenarkan aliran udara melalui ruang tersebut untuk meningkatkan daya turun.
Menambahkan lagi seri kereta elektrik ini adalah penggunaan sistem pencahayaan LED di bahagian depan dan belakang, serta logo Fratzog beriluminasi yang pernah digunakan oleh Dodge pada tahun 1960-an dan 1970-an.
Ruang kabin pula menampilkan roda stereng beriluminasi merah, skrin infotainmen sebesar 12.3 inci, dibantu dengan skrin kluster digital 16.0 inci, skrin paparan head-up, sistem pencahayaan Ambient Attitute Adjustment Lighting, serta tombol transmisi yang mengingatkan kita kepada model kereta muscle klasik.
Tiada sebarang informasi berkenaan angka kuasa kuda Dodge Charger Daytona SRT Concept ini didedahkan, namun versi produksi dijangka akan muncul menjelang tahun 2024.