Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sistem itu akan memantau keseluruhan aktiviti penerbangan dron sama ada ia bagi tujuan komersial atau rekreasi.
"Namun demikian, apa yang dicadangkan sukar untuk dilaksanakan tanpa adanya sistem dalam talian yang efisyen dan bersepadu. Disebabkan itu CAAM mahu memperkenalkan UTM System.
"Selain memperkenalkan sistem berkenaan, CAAM juga berhasrat memperkenalkan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 bagi tujuan menambah baik serta mendokong industri dron untuk mencapai potensi penuh dan seterusnya ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Pengoperasian UAS/Dron Bersama Media, di sini hari ini (Rabu).
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Setiausahanya, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo.
Mengulas lanjut mengenai penggunaan dron di negara ini, Ka Siong berkata, teknologi itu semakin popular terutamanya dalam kalangan pengamal media tempatan dan antarabangsa kerana ia mampu merakam foto dan video udara dengan pantas dan berkualiti.
Namun, katanya, penggunaan dron yang semakin berleluasa juga berpotensi untuk mendedahkan risiko tertentu kepada pengamal media termasuk membabitkan isu keselamatan dan pencabulan privasi.
"Tanpa pendedahan, pengetahuan dan kemahiran terhadap keperluan undang-undang, batasan penerbangan dan latihan yang betul, ia dikhuatiri akan mengakibatkan kejadianyang tidak diingini seperti mendatangkan kecederaan dan kematian seterusnya menyebabkan pengamal media berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Maka, CAAM sebagai agensi kawal selia yang bertanggungjawab mengenai penggunaan dron di dalam negara kini giat dan aktif memberikan penerangan serta pendedahan kepada orang ramai betapa pentingnya penggunaan dron secara terkawal dan selamat," katanya.
Beliau berkata, antara langkah dan strategi yang sudah diambil oleh CAAM termasuk mengeluarkan Arahan Penerbangan Awam khusus kepada pengendali dron.
"Serta organisasi latihan dron iaitu Civil Aviation Directive 6011 Part I Remote Pilot Training Organisation, Civil Aviation Directive 6011 Part II Agricultural UAS Operations dan Civil Aviation Directive 6011 Part V Specila UAS Project," katanya.
Sementara itu, mengulas lebih lanjut mengenai sistem berkenaan, Chester berkata, bila tersedianya sistem itu terdapat dua peringkat yang perlu dilalui oleh pengendali dron sebelum mereka dibenarkan untuk menerbangkan gajet terbabit.
"Peringkat pertama adalah pendaftaran, ia bermaksud semua dron dalam negara yang akan diguna pakai sama ada ia hanyalah hobi, permainan, digunakan untuk perusahaan atau industri berat, ia perlu didaftarkan.
"Ini adalah untuk pemantauan keselamatan, sekiranya berlaku apa-apa contohnya ketika ia diterbangkan terdapat masalah atau kesilapan yang mungkin disebabkan cuaca, kita boleh jejak balik siapa pemiliknya dan boleh siasat apa yang sebenarnya berlaku.
"Peringkat kedua adalah kelulusan untuk penerbangan, dengan adanya sistem ini kelulusan untuk pengendali menerbangkan dron ini dapat disingkatkan iaitu dalam masa sehari sahaja berbanding sekarang iaitu 14 hari.
"Kini proses untuk pendaftaran adalah secara manual dan sebab itu tempoh masa yang diambil agak panjang, namun sekiranya ada keperluan mendesak seperti bencana alam, kita akan buat secepat mungkin iaitu dalam dua hingga tiga jam ," katanya.
Ditanya bagaimana proses pembelian dron selepas sistem itu dikuatkuasa, Chester berkata, jika individu itu mahu membeli dron yang kecil dan hanya digunakan untuk permainan serta berisiko rendah, ketika pembelian mereka perlu menyediakan MyKad untuk disemak.
"Bagi pembelian dron berisiko tinggi yang mungkin beratnya melebihi 300 kilogram, kalau jatuh akan memberi bahaya kepada orang lain, gajet yang ini memerlukan lesen. Jadi penjual perlu melihat lesen pengendalian dron dan MyKad.
"Kalau tiada lesen, mereka tidak boleh beli dan menerusi sistem berkenaan ia mungkin menyatakan dron yang ingin dibeli itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai lesen bertauliah," katanya.