Kesemua trak MAN TGS dengan spesifikasi enjin rendah karbon Euro V itu dipasang di kilang Serendah, Selangor.
Penyerahan 15 unit pertama trak MAN TGS kepada Dato' Mohd Nazrul Izam Mansor (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV) itu disempurnakan oleh Andrew O'Brooks, Pengarah Urusan MAN Malaysia dan Thayalan Subramaniam, Pengurus Besar MAN Malaysia di hab logistik FTSSB, Shah Alam.
Pemerolehan 41 unit trak ini adalah tender terbuka kedua oleh FTSSB yang dimenangi MAN Malaysia berikutan pemerolehan awal 44 unit lori MAN TGS generasi sebelumnya pada tahun 2021.
Trak MAN TGS Baharu FTSSB didatangkan dengan teknologi terkini seperti MAN Telematics dan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), termasuk Beg Udara Keselamatan khas buat Pemandu, Sistem Amaran Penukaran Lorong dan Sistem Brek yang termasuk Pretarder dan Retarder.
Menurut Dato' Nazrul, "Perolehan trak MAN TGS Baharu ini akan membantu mengembangkan perniagaan pengangkutan FGV kerana ia dapat mematuhi keperluan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
"Kami amat berpuas hati dengan prestasi semasa lori MAN TGS dan yakin bahawa trak MAN TGS Baharu ini akan memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan jejak karbon sebagai salah satu fokus di bawah Tonggak Melindungi Alam Sekitar bagi Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan kami,” katanya.
Bermula tahun hadapan, MAN Malaysia akan meluaskan penawaran enjin Euro 5 untuk casis bas MAN dan akan mula menerima tempahan untuk casis bas elektrik.