Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi sembilan saat berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, @nabilahroslan, jam 12.15 tengah malam tadi.
Rakaman itu memaparkan sebuah Proton X70 berwarna merah yang sedang dipandu di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Bukit Lanjan, di mana seorang kana-kanak mengeluarkan kepalanya melalui tingkap suria kenderaan tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 iaitu atas perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
"Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya sekali.
"Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan tindakan membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain," katanya.
Beliau turut menyeru pemilik atau pemandu berkenaan dan saksi yang melihat kejadian supaya tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mejar Mohd Yusof Hamzah di talian 011-23065984 bagi membantu siasatan," katanya.
Sumber: Harian Metro