Sama seperti kembarnya, Suzuki Swace 2023 membawakan sistem trenkuasa hibrid yang lebih bertenaga, serta beberapa ciri moden yang turut dimuatkan sekali.
Unit enjin 1.8 liter hibrid pengecasan kendiri itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 138 hp, atau peningkatan sebanyak 18 hp berbanding model terdahulu, sebelum kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi eCVT.
Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 9.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 180 km/j.
Jika anda tidak memiliki sepasang mata yang tajam, agak sukar untuk mengesan perubahan yang dibawakan pada Suzuki Swace ini.
Di bahagian hadapan, unit lampu DRL LED telah diberikan rupa grafik baharu yang lebih tajam, diikuti dengan kemasan krom pada seksyen bawah bampar.
Sementara ruang kabin pula didatangkan dengan skrin kluster digital bersaiz tujuh inci, diikuti dengan paparan infotainmen bersaiz lapan inci tanpa kehadiran butang pintas pada bahagian kiri dan kanan skrin tersebut.
Sayang sekali, Suzuki Swace 2023 tidak ditawarkan dengan skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin infotainmen 10.5 inci yang ada pada varian tertinggi Corolla.
Ruang kargo pula adalah sebesar 596 liter, dan boleh dibesarkan sehingga 1,606 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Bergantung kepada pasaran, Suzuki Swace 2023 boleh didapati dalam dua trim, di mana versi asas mendapat ciri seperti kokpit digital, pemanas tempat duduk, kawalan iklim automatik, rim aloi 16 inci, serta kelengkapan ADAS.
Sementara versi tertinggi pula menambah ciri lampu utama bi-LED, pad pengecasan nirwayar, sistem pencahayaan ambien, serta kelengkapan ADAS yang lebih menyeluruh seperti Kawalan Jelajah Radar Dinamik, sistem pemantauan Titik Buta dan Bantuan Keluar Selamat.
Harga jualan Suzuki Swace 2023 di Netherlands bermula dari €35,795 (RM164,582) dan mampu mencecah sehingga €37,795 (RM173,778) untuk versi tertinggi.
Sebagai perbandingan, Toyota Corolla Touring Sports dijual bermula dari €32,495 (RM149,409) di mana versi asas model itu tidak didatangkan dengan kelengkapan yang sama seperti penawaran Suzuki Swace 2023.