Careta sebelum ini pernah melaporkan bahawa Honda sedang mempertimbangkan untuk menghasilkan semula idea tersebut berdasarkan penemuan pendaftaran tanda dagang 'Motocompacto' tiga tahun lepas.
Sebelum pun sempat kita melihat kelahiran semula Motocompo yang asli dari Honda, sebuah syarikat China FELO memperlihatkan model skuter boleh lipat tersebut pada acara Tokyo Motorcycle Show, digelar sebagai M One.
Skuter M One ini boleh dikatakan banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Motocompo, dengan berat sekitar 37 kg.
Paling penting, ia tidak lagi menggunakan enjin pembakaran dalaman, sebaliknya mengguna pakai motor elektrik berkuasa 1 kW (1.34 hp), sementara pek bateri berkapasiti 1 kWh membenarkan jarak sehingga 100 km!
Namun begitu, ia bukanlah skuter untuk tunggangan yang pantas, anda perlu bersabar kerana kelajuan maksimum adalah sekitar 25 km/j sahaja.
Sebagai perbandingan, Motocompo yang asal memiliki enjin 49 cc, berat sekitar 45 kg, dan kelajuan tertinggi dikatakan sekitar 30 km/j.
Disebabkan saiz dimensi yang kecil (1,160 mm x 560 mm, 860 mm), M One boleh disimpan di dalam ruang kargo dengan mudah.
Ciri menarik yang ada pada M One ialah keupayaan Vehicle-to-Load (V2L), di mana ia menyediakan outlet kuasa 220V AC 50 Hz, membolehkan pemilik menggunakan M One ini sebagai genset mudah alih.
M One akan muncul secara rasmi di pasaran Jepun pada suku keempat tahun ini, dengan harga jualan bermula dari 380,000 yen (RM12,760).