Recall tersebut telah dimulakan pada bulan Jun tahun lalu dimana ia melibatkan penggantian inflator beg udara Takata pada bahagian pemandu yang berpotensi menyebabkan kematian semasa kemalangan.
Antara model Chevrolet dan Saab yang terlibat dalam kempen recall tersebut ialah:
- Chevrolet Cruze: model tahun 2010–2015
- Chevrolet Orlando: model tahun 2013–2015
- Chevrolet Sonic: model tahun 2013–2014
- Chevrolet TRAX model tahun 2017
- SAAB 9-3: model tahun 2007
Menurut syarikat yang bertanggungjawab bagi kempen recall di rantau Asia Tenggara, Chevrolet Sales Thailand, kadar sambutan bagi kempen recall tersebut berada di bawah jangkaan.
Chevrolet berharap agar masyarakat dan orang ramai dapat membantu untuk menyebarkan berita mengenai kempen recall itu bagi menggalakkan para pemilik untuk segera membawa kereta mereka untuk menukar komponen tersebut.
Menurut Chevrolet juga, antara sebab sambutan kempen recall itu tidak menggalakkan ialah kesukaran untuk mengesan pemilik yang terkini oleh kerana data pelanggan yang sudah lapuk, serta ketiadaan pejabat rasmi Chevrolet di Malaysia.
Memandangkan Chevrolet tidak berpengkalan di Malaysia, syarikat itu bekerjasama dengan Honda Malaysia bagi membantu urusan kerja-kerja penggantian beg udara yang dilakukan di rangkaian pengedar sah Honda.
Walaupun tarikh akhir untuk kerjasama itu belum diumumkan, pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini secepat mungkin, kerana kerjasama antara Chevrolet dan Honda Malaysia ini hanya untuk tempoh yang terhad.
Sehingga kini, Chevrolet masih menjalankan kempen recall tersebut untuk menggantikan inflator beg udara itu sejak dimulakan pada tahun lalu.
Kempen itu juga dilaksanakan dengan kelulusan dan kerjasama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Pemilik model kereta yang terlibat digalakkan untuk melayari laman sesawang Chevrolet bagi membantu urusan penukaran komponen tersebut.
Pemilik hanya perlu mengikuti beberapa langkah mudah seperti berikut:
- Cari nombor VIN
- Panggilan untuk temujanji
- Pemilik kenderaan akan diminta untuk berkongsi butiran mereka bagi membolehkan Chevrolet membuat pemakluman dan kemaskini yang penting berkenaan dengan kempen recall itu.