Berkenaan enjin, hanya satu pilihan yang ditawarkan iaitu 2.5 liter hibrid berkuasa 247 bhp dan menariknya pilihan pacuan dua roda depan atau semua roda dengan sistem E-Four.
Pilihan itu sama seperti NX 350h dan RX 350h yang ditawarkan di sana.
Ada tiga varian utama buat pengguna UK iaitu LM 350h (pacuan roda depan dan semua roda) dan satu LM 350h Takumi.
Lexus LM 350h
Model tujuh tempat duduk dilengkapi bumbung suria tetap berkembar, kawalan suhu dua zon dengan sistem kualiti udara nanoe-X, penghadang matahari berkuasa dan rim 19 inci.
Pakej maklumat hibur terdiri daripada sistem multimedia Lexus Link Pro, 21 pembesar suara Mark Levinson 3D Surround Sound dan skrin 14 inci untuk penumpang belakang.
Pemandu diberikan stereng dengan fungsi pemanas dan larasan berkuasa, Panoramic View Monitor dan Papar Pandu (HUD).
Kerusi depan dan tengah mempunyai larasan berkuasa dan dibalut kulit separa anilina dengan riasan Ultrasuede.
Turut dilengkapi Bantuan Parkir Pintar dengan fungsi parkir kawalan jauh melalui aplikasi Lexus Link.
Lexus LM 350h Takumi
Varian Takumi pula lebih mewah dengan dua kerusi pelbagai fungsi di belakang seperti meja boleh lipat dan stesen pengecasan melalui slot USB dan pengecasan tanpa wayar.
Kerusi larasan berkuasa itu boleh dibaring sepenuhnya dan terdapat tujuh pilihan urut! Turut dilengkapi dinding pemisah di antara pemandu dan penumpang belakang.
Bukan sekadar dinding, Lexus menempatkan skrin lebar 48 inci dan panel kaca yang boleh dimalapkan untuk ruang peribadi.
Skrin itu mempunya tiga mod tontonan; skrin penuh, sinema dan skrin kanan dan kiri berasingan untuk paparan berbeza bersama set kepala.
Penumpang boleh memancarkan kandungan terus dari telefon pintar atau tablet atau melalui menghubungkan skrin dengan dua slot HDMI.
Di bawah skrin terdapat kotak simpanan berasingan dan peti sejuk.
Set audio Mark Levinson 3D Surround Sound mempunyai 23 pembesar suara dan keselesaan kabin dipertingkat melalui sistem Lexus Climate Concierge.
Sistem itu menggunakan sensor haba bagi mengawal pemanasan dan pengudaraan secara tepat dan automatik.
Satu lagi yang praktikal dan canggih ialah fungsi kabin ditetapkan melalui peranti kawalan khas yang direka seperti telefon pintar.
Peranti itu mengawal sistem audio, tetapan suhu, fungsi kerusi, lampu dalaman dan bidai tingkap.
Warna dan kemasan
Lexus UK menawarkan beberapa pilihan warna badan seperti Sonic White, Sonic Titanium, Sonic Agate dan Graphite Black.
Bahagian dalam dibalut anilina L berwarna Hitam atau Ammonite Sand dengan riasan suede untuk kerusi belakang.
Ciri mewah turut dinaikkan melalui kemasan corak kayu tradisional herringbone Jepun dengan cetakan tiga dimensi.
Lexus Safety System+
LM dilengkapi ciri keselamatan aktif dan bantuan pemanduan Lexus Safety System+ terbaru.
Di antara kelengkapan seperti Monitor Titik Buta, Peringatan Lintasan Trafik Belakang dan Perintasan Lintasan Trafik Depan.
Turut dilengkapi lampu besar LED dengan sistem lampu alur adaptif AHS.
Fungsi Bantuan Keluar Pintar mencegah pintu dibuka apabila terdapat penunggang basikal menghampiri LM dari belakang.
Harga dan varian Lexus LM UK:
- LM 350h (pacuan roda depan): 89,995 pound (RM527,636)
- LM 350h (pacuan semua roda): 92,995 pound (RM545,183)
- LM 350h Takumi (pacuan semua roda): 112,995 pound (RM662,432)
Penulis: Muhammad Md Tajudin