Kemudahan pembayaran baharu itu melengkapi perkhidmatan pembayaran sedia ada termasuk Touch 'n Go (TNG), SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), sekali gus menambahkan akses pembayaran kepada pengguna lebuh raya.
Mengambil konsep yang dilaksanakan beberapa pengendali parkir di bandar utama yang menawarkan pelbagai kaedah pembayaran selain TNG termasuk penggunaan kad debit dan kredit, lebuh raya di beberapa lokasi juga mulai menawarkan pilihan sama kepada pengguna lebuh raya.
Difahamkan, beberapa lebuh raya sedang menyelenggara terminal pembayaran terbuka yang ditempatkan bersebelahan terminal TNG di lorong tertentu ketika ini, sebelum pelaksanaan sepenuhnya dijadualkan pada September ini.
Ketika ini, sejumlah 12 lebuh raya akan melaksanakan tempoh percubaan pembayaran terbuka dengan pengguna boleh membuat pembayaran terbuka.
Lebuh raya terbabit termasuklah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth–Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE).
April lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12 lebuh raya dijangka bermula pada September 2023.
Lebuhraya DUKE juga telah dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuhraya di dalam negara.
Alexander berkata, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini adalah persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
Katanya, usaha itu diharap dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terbabit untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF.