Berdasarkan teaser oleh produser GT, Kazunori Yamauchi minggu lepas, terdapat empat buah kereta baharu yang bakal ditambah ke dalam Gran Turismo 7.
Salah satu daripadanya merupakan sebuah ambulans Toyota Ambulance Himedic 2021 sebagai hadiah istimewa untuk kempen Gran Turismo World Series Showdown yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Ogos ini.
Para pemain GT7 hanya perlu klik sepanduk "Predict the Winners Campaign" di bahagian sudut atas peta dunia, di mana anda perlu meneka pasukan mana yang akan memenangi kategori Manufacturers Cup dan Nations Cup.
Pemain yang berjaya meneka dengan tepat bagi kedua-dua kategori akan memenangi kredit bernilai 2,000,000 pada 14 Ogos, atau hanya 1,000,000 jika meneka salah satu dengan tepat.
Bagaimana pula dengan ambulans Hiace itu tadi?
Senang sahaja, anda hanya perlu memilih Viewers Campaign pada sudut kanan atas, dan menonton siaran langsung World Series.
Pemain yang menonton kategori Manufacturers Cup akan dianugerahkan 6-Star Roulette Ticket, sementara pemain yang menonton Nations Cup akan mendapat akses awal kepada Toyota Ambulance HiMedic '21 itu tadi.
Kempen tersebut akan bermula pada 11 Ogos hingga 20 Ogos untuk kategori Manufacturers Cup, sementara Nations Cup pula berlangsung dari 12 Ogos hingga 20 Ogos.
Selain daripada ambulans Hiace, pemain GT7 juga boleh menjangkakan kereta baharu berupa Toyota GR Corolla berdasarkan bayang pada gambar teaser di bawah.