Menjadi pendatang baharu dalam saingan EV sedan segmen D dan hatchback segmen C, kedua-dua Seal dan Dolphin telah berjaya memperoleh penarafan 5 bintang melalui empat kategori ujian yang dijalankan.
Kejayaan tahap keselamatan tertinggi itu dibantu oleh penggunaan e-Platform 3.0 generasi baharu BYD yang terdiri daripada rangkaian kuasa elektrik 8-dalam-1 bersepadu tinggi pertama di dunia.
e-Platform 3.0 serba baharu telah direka khas untuk kenderaan elektrik, di mana ia memberikan kelebihan sepenuhnya terhadap kecerdasan, kecekapan dan keselamatan.
Teknologi tersebut menghubungkan semua unit kawalan elektrik dan sistem pengurusan, termasuk binaan Blade Battery Pack yang diuji dengan teliti dan diyakini selamat.
Menariknya, e-Platform 3.0 menampilkan struktur 'laluan berbilang beban' yang mengawal cara tenaga diserap oleh kereta sekiranya berlaku perlanggaran, sekaligus membantu meminimumkan kesan ke dalam kabin penumpang.
Di bawah protokol penilaian Euro NCAP, kereta akan diuji berdasarkan 4 kategori iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa, Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak, Bantuan Keselamatan dan Perlindungan Pengguna Jalan Raya.
Berikut merupakan kategori markah yang diterima oleh BYD Seal dan BYD Dolphin:
BYD Seal
- Perlindungan Penumpang Dewasa - 35.8 dari 40 mata keseluruhan (89 peratus)
- Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak - 43 dari 49 mata keseluruhan (87 peratus)
- Bantuan Keselamatan - 13.8 dari 18 mata keseluruhan (76 peratus)
- Perlindungan Pengguna Jalan Raya - 51.7 dari 63 mata keseluruhan (82 peratus)
BYD Dolphin
- Perlindungan Penumpang Dewasa - 35.8 dari 40 mata keseluruhan (89 peratus)
- Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak - 43 dari 49 mata keseluruhan (87 peratus)
- Bantuan Keselamatan - 14.4 dari 18 mata keseluruhan (79 peratus)
- Perlindungan Pengguna Jalan Raya - 53.9 dari 63 mata keseluruhan (85 peratus)
Ujian pelanggaran NCAP menggunakan cara yang sama di mana-mana di dalam dunia, seperti yang dilakukan oleh Asean NCAP, China NCAP atau Bharat NCAP.
Yang membezakan pemberian bintang dan pemarkahan ialah fokus kepada alatan keselamatan lain. Contohnya, Asean NCAP memberikan mata tambahan untuk alatan keselamatan seperti Sistem Pemantau Titik Buta kerana mahu mengurangkan risiko kemalangan yang membabitkan motosikal-motosikal yang sentiasa "menyelit" di kiri dan kanan kenderaan.
Euro NCAP pula memberikan markah tambahan untuk sistem-sistem yang membantu mengurangkan kecederaan pejalan kaki kerana ia adalah antara punca kemalangan di sana.