Langgar kereta peronda, polis terpaksa lepas 2 das tembakan

oleh Penyumbang Rencana|
Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta curi yang dinaiki seorang lelaki di Jalan Taman Bukit Indah, di Bukit Mertajam, pada Jumaat.

Dalam insiden kira-kira jam 8.50 malam itu, anggota dari Balai Polis Hi Tech, Kulim, Kedah yang menaiki kereta peronda (MPV) mengejar lelaki berkenaan yang memandu kereta jenis Proton Wira dari kawasan kilang dekat situ yang berada dalam keadaan mencurigakan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya kemudian mendapat panggilan sekitar jam 9.30 malam yang memaklumkan suspek bertindak memecut kereta dinaikinya ke arah Bukit Mertajam.

Bagaimanapun katanya, ketika sampai di Jalan Taman Bukit Tambun, dekat sini suspek berusia lingkungan 20-an memasuki kawasan jalan mati sebelum diarahkan polis untuk menyerah diri.

"Tetapi dia enggan dan membuat pusingan-U sebelum sekali lagi memecut kereta ke arah anggota MPV dan melanggar bahagian hadapan MPV polis.

"Bagi mempertahankan diri, anggota MPV terpaksa melepaskan dua das tembakan dan terkena pada tayar hadapan kereta suspek hingga menyebabkan kenderaan suspek hilang kawalan dan terbabas," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Jelasnya, suspek yang juga warga tempatan kemudian berjaya ditahan sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

"Melalui semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan jenayah dan dadah selain satu rekod orang dikehendaki oleh IPD Kulim, Kedah.

"Siasatan juga mendapati kereta dinaiki suspek juga dilaporkan hilang di Nibong Tebal semalam," katanya.

Tan berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

"Suspek kini direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan kes itu dah selesai dan sehingga semalam (Ahad) kita terima satu laporan polis dari…
Informasi
“Buat masa ini kes masih dalam siasatan. “Dan setakat ini masih belum ada tangkapan dan maklumat…
Berita Domestik
"MPV SL 63 menghampiri dua lelaki tersebut dan mengarahkan untuk menghentikan motosikal yang…