Casio Edifice ECB-2200HTR ini membawakan semangat Honda Type R menerusi pemilihan warna, bahan dan kemasan pada jam tangan.
Seperti contoh, penggunaan warna Championship White tulen pada cincin dial, logo H berwarna merah pada muka jam, diikuti dengan tali jam putih daripada bahan kulit tulen dan Alcantara - bahan yang sama digunakan untuk ruang kabin kereta Type R.
Bukan itu sahaja, pada tali jam tersebut turut dicetak segala kod model kereta-kereta Type R bermula dari Honda NSX NA1 yang wujud tahun 1992, hinggalah kepada model Civic Type R FL5 yang lebih moden.
Logo Type R dan Honda turut diabadikan pada jam tangan tersebut, tidak ketinggalan logo R yang boleh didapati pada butang jam randik.
Jika anda perasan, rekaan dial kecil pada jam tangan ini membawakan motif yang diinspirasikan daripada kluster meter pada sesetengah model Type R.
Akhir sekali, dial jam membawakan motif corak sarang lebah yang sama digunakan pada jeriji hadapan kereta Type R.
Jam tangan ECB-2200HTR ini mempunyai ciri kalis air sedalam 100 meter, menyokong sehingga 38 zon masa, fungsi jam randik dan kiraan menurun, sokongan aplikasi Mobile Link (Bluetooth), dan sistem pengecasan Tough Solar.
Untuk pasaran Malaysia, jam tangan ECB-2200HTR ini dijual pada harga bermula dari RM2,399 dan boleh didapati di semua penjual dan kedai G-SHOCK yang sah bermula 20 Disember 2023.