Toyota akan bina kilang baharu untuk kenderaan kecil di Malaysia

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan Asia Nikkei semalam, Toyota akan membina sebuah lagi kilang pemasangan kenderaan di Malaysia khas untuk meningkatkan bekalan kenderaan mereka bagi meninkmati peningkatan jualan dalam jangka masa pertengahan di samping meningkatkan kecekapan rangkaian produksi mereka.

Kilang baharu tersebut akan dibina oleh UMW Toyota dengan kos anggaran RM1.1 billion dan akan mula beroperasi seawal tahun 2018, dengan kadar pengeluaran sebanyak 50,000 unit kenderaan setahun.

Asia Nikkei seterusnya melaporkan bahawa UMW Toyota sekarang menghasilkan sebanyak 80,000 unit kenderaan setahun, termasuk model Vios dan Hilux. Ia mempunyai dua kilang di Malaysia sekarang untuk jualan domestik.

Laporan itu berkata dengan adanya sebuah lagi kilang berdekatan, ia akan membenarkan Toyota menghasilkan pengeluaran berdasarkan jenis kenderaan. Kilang baharu ini akan menghasilkan kenderaan kecil dan jumlah pengeluaran bakal meningkat sehingga 100,000 unit kenderaan setahun.

Jualan kenderaan di Malaysia berjumlah sebanyak 660,000 unit untuk tahun 2015, meletakkan Malaysia di tangga ketiga selepas Indonesia dan Thailand. Ada laporan yang menyebut bahawa jualan di Malaysia mampu naik sehingga 800,000 setahun, seiring dengan pertambahan penduduk.

Walaupun jualan Toyota di luar Jepun jatuh untuk tiga tahun fiskal berturut-turut, Toyota yakin jualan akan meningkat untuk tahun ini.

Bagi pendapat Careta, Toyota mungkin akan menggunakan kilang Perodua yang baharu yang sudah siap. Kilang tersebut kini menghasilkan model Axia dan model sedan pertama Perodua yang bakal dilancarkan pada pada bulan Jun atau Julai tahun ini.

Berita ini juga semakin memanaskan industri automotif negara kerana jika laporan Asia Nikkei ini benar, maka Toyota mungkin akan menghasilkan kenderaan-kenderaan kecil mereka sendiri, iaitu model dari Daihatsu. Ini ialah kerana Perodua diberi kebenaran untuk menghasilkan model-model mereka sendiri sekarang ini tanpa perlu meminjam model Daihatsu.