Hari ini, kami akan mengupas serba sedikit tentang 5 perkara yang perlu dititikberatkan sebelum membuka bengkel.
1. Kertas Kerja
Mungkin ramai menganggap bahawa modal adalah perkara pertama. Memang betul modal sangat penting, cuma yang paling utama adalah kertas kerja. Hal ini kerana, di dalam pembikinan kertas kerja, kita akan merangka secara terperinci tentang perkara berikut :-
- Modal yang diperlukan
- Peralatan yang diperlukan
- Lokasi premis
- Kriteria dan jumlah pekerja
- Anggaran kos overhed
- Akta Syarikat
- Akta Kerja
- KWSP
- Perkeso
- LHDN
- Pihak Berkuasa Tempatan
- Strategi Pemasaran
- Target Pasaran
- Orientasi Operasi
- "Standard Operating Procedure" (SOP)
Sekiranya perkara-perkara sudah jelas dirangka, barulah boleh ke peringkat seterusnya. Hal ini kerana untuk memastikan tujuan perniagaan tidak tersasar dari landasan.
2. SSM dan Akaun Bank
Perkara seterusnya yang perlu dibuat adalah mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Sekiranya anda mahu bermula secara Enterprise, pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian sahaja. Jika memilih untuk bermula dengan Sendirian Berhad, anda perlu melantik "Company Secretary" untuk urusan pendaftaran.
Setelah syarikat didaftarkan, barulah boleh pergi ke bank bersama sijil pendaftaran untuk urusan pembukaan akaun. Untuk perniagaan, kalau boleh jangan gunakan akaun persendirian. Lebih baik guna akaun yang dibuka atas nama syarikat.
Hal ini untuk mengelakkan ketirisan di dalam oengurusan kewangan syarikat disamping menampakkan perniagaan anda lebih professional.
3. Premis
Perkara ketiga adalah mencari premis yang sesuai untuk memulakan perniagaan. Faktor lokasi dan geografi memainkan peranan penting bagi mereka yang baru hendak memulakan perniagaan. Lokasi haruslah senang diakses dan dijumpai oleh pelanggan.
Apa yang ada boleh lakukan adalah lakukan penyelidikan tentang sesuatu kawasan tersebut seperti:-
- Akses dari jalan utama
- Kepadatan penduduk
- Statistik purata pendapatan penduduk setempat
- Persaingan
- Akses kepada pembekal
Sekiranya kriteria-kriteria diatas sudah menepati kehendak anda, barulah buat keputusan sama ada mahu membeli atau menyewa premis yang diinginkan.
Jangan lupa untuk berunding dengan tuan tanah, mana tahu rezeki dapat harga yang lebih murah.
4. Tenaga Kerja
Tenaga kerja amat penting untuk menggerakkan perniagaan anda. Cuma disini, jenis tenaga kerja yang seperti manakah yang diperlukan oleh anda ?
Kita berbalik ke topik kertas kerja. Ketika pembikinan kertas kerja, orientasi operasi yang memainkan peranan tentang keperluan kertas kerja.
Hal ini bermakna, sekiranya orientasi operasi anda adalah bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan, tenaga kerja yang diperlukan adalah orang yang berpengalaman di dalam bidang mengetuk dan mengecat kenderaan.
Bidang automotif ini luas. Bermacam-macam orientasi. Saya pecahkan seperti berikut :-
- Bengkel Mengetuk dan Mengecat Kenderaan
- Bengkel Cermin Kenderaan
- Bengkel Ekzos Kenderaan
- Bengkel Membaik Pulih Kenderaan
- Pusat Servis Kenderaan
- Bengkel Modifikasi Kenderaan
Mungkin bermacam-macam lagi akronim yang biasa dan luar biasa kita dengar sesuai dengan keadaan setempat. Oleh itu, jika sudah tahu orientasi operasi, baru lah boleh fokus kepada kriteria tenaga kerja yang diperlukan.
Perlu diingat juga, lesen perniagaan bagi setiap pecahan bengkel diatas adalah berlainan. Pilih sebaiknya.
5. Modal
Sekarang kita pergi kepada modal. Modal sangat penting untuk kita memulakan perniagaan. Modal boleh didapati dengan cara seperti :-
- Simpanan sendiri
- Ahli keluarga
- Sahabat terdekat
- Pihak pelabur
- Bank
Mungkin ada lagi cara lain yang mungkin berada di luar kotak pemikiran. Cuma apa yang penting, dengan adanya kertas kerja, kita dapat tentukan berapa banyak modal yang diperlukan dengan jelas.
Sekiranya perlu "Pitching" di hadapan pelabur sekalipun, anda boleh terangkan dengan jelas secara kesuluruhan dari awal sampai akhir tentang rancangan perniagaan anda.
Akhir kata, semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada sesiapa yang bercita-cita untuk membuka bengkel sendiri.
Penulis: Ahmad Omar
Penulis merupakan seorang pengarah urusan pusat servis kenderaan. Beliau berpengalaman bertugas sebagai mekanik, penasihat teknikal dan pengurus pemasaran di dalam dan luar negara. Beliau juga berpengalaman di dalam mengendalikan jentera-jentera mewah dari Itali, Jerman, UK dan Jepun.