Skrin paparan yang serba moden ini mula digunakan pada model EQS sebagai opsyen, di mana penawaran standard adalah terdiri daripada skrin paparan instrumen 12.3 inci, diikuti dengan skrin tablet 12.8 inci di bahagian tengah.
Baca: Paparan MBUX Hyperscreen 56 inci merentas papan pemuka
Dari segi penawaran, ia memang cukup impresif, namun tahukah anda skrin paparan merentas papan pemuka ini sebenarnya telah pun wujud pada tahun 1996?
Menerusi model konsep Mercedes-Benz F 200 Imagination 1996, Mercedes-Benz memperlihatkan reka bentuk dalaman yang futuristik dan jauh mendahului zaman.
Selain daripada itu, Mercedes-Benz juga turut memperlihatkan teknologi yang sudah menjadi satu kelaziman pada masa kini, seperti contoh kebergantungan kepada teknologi pengiraan komputer dan sistem drive-by-wire menggantikan sambungan mekanikal dan hidraulik.
Ia boleh dilihat menerusi ketiadaan roda stereng dan digantikan dengan peranan kayu ria di bahagian tengah. Ini bermakna pemandu boleh mengendalikan kereta daripada mana-mana kerusi depan, baik dari sebelah kanan atau sebelah kiri.
Malah, F 200 Imagination juga turut diuji pada peranti simulasi pemanduan yang juga satu kelaziman pada ketika ini. Namun, Mercedes-Benz sebenarnya telah lama menggunakan teknologi simulasi pemanduan sejak tahun 1985 lagi!
Skrin paparan yang merupakan 'atuk' kepada Hyperscreen terdiri daripada beberapa unit skrin berwarna yang disusun sebelah menyebelah merangkumi beberapa ciri seperti paparan instrumen digital, komputer, paparan kamera belakang, sistem navigasi, radio, pemain CD dan DVD, telefon, serta internet mudah alih untuk kegunaan ahli perniagaan.
Difahamkan, model konsep F 200 Imagination ini masih lagi boleh dilihat di Muzium Mercedes-Benz, dan tiada sebarang caj kemasukan dikenakan kepada pengunjung.
Sumber: Carscoops