Walaupun jualan Kia tidak sebesar jenama antarabangsa lain namun Naza Kia selalu ke hadapan dalam memberikan kepelbagaian produk dari model sekecil Picanto sehinggalah sebesar Grand Carnival atau Sorento.
Model-model yang ditawarkan pula adalah generasi terkini dengan spesifikasi hebat.
Kia Picanto misalnya bersaing dengan model yang lebih popular dan jenama nombor satu negara iaitu Perodua Myvi dan Axia.
Picanto hadir dengan spesifikasi hebat dengan enam beg udara dan ditawarkan pada harga di bawah RM 50,000.
Walaupun tawaran Picanto tempatan sudah menarik namun ada satu varian tertinggi yang tidak ditawarkan iaitu GT-Line dan GT-Line S.
Kedua-dua varian ini ditawarkan di United Kingdom dan menariknya terdapat satu jenis enjin istimewa yang baru sahaja diperkenalkan.
Enjin yang dimaksudkan ialah 1.0 T-GDI. Enjin ini menarik kerana ia hanya menggunakan tiga silinder dengan janaan turbo.
Kuasa enjin ini ialah 99bhp dengan tork 171Nm dan merupakan enjin Picanton paling berkuasa. Pecutan dari 0 - 97 km/j mengambil masa 9.8 saat dan kelajuan maksimum ialah 180 km/j.
Enjin ini hanya eksklusif untuk varian GT-Line dan GT-Line S. Untuk makluman, varian GT-Line adalah pilihan tertinggi untuk sesebuah model Kia seperti yang boleh dilihat pada Kia Sportage GT pasaran tempatan.
Varian Picanto GT-Line hadir dengan pakej istimewa seperti rekaan bamper yang lebih sporti dengan kemasan merah dan kit badan keliling.
Gayaan sporti diserlahkan lagi dengan ekzos berkembar dan roda aloi 16 inci yang dipadankan bersama tayar 195/45 R16.
Bahagian dalaman Picanto GT-Line juga meriah dengan kemasan warna hitam merah dan pedal besi tahan karat. Varian ini turut dilengkapi cermin suria, kerusi dan stereng dengan pemanas dan pelbagai lagi peralatan canggih dan terkini.
Jika Picanto 1.2 EX pasaran tempatan ditawarkan pada harga di bawah RM 50,000, berapakah pula harga Picanto dengan enjin turbo ini?
Di UK, harga Kia Picanto GT-Line bermula dari GBP 13,320 atau RM 71,240.93 manakala varian GT-Line S pula bermula dari GBP 14,720 atau RM 78,726.14.
Tinggi juga harganya namun tidak dinafikan pakej enjin dan penampilan Kia Picanto GT-Line begitu menarik.
Dengan penawaran Kia Stinger, ada harapan tidak Kia Picanto GT-Line ini dipasarkan di sini?
Penulis: Muhammad Md Tajudin