Menurut satu kenyataan rasmi oleh ASEAN NCAP menjelaskan kedua-dua model Iriz dan Persona edisi baharu itu diuji berdasarkan protokol ASEAN NCAP untuk tahun 2017-2020.
Berdasarkan keputusan tersebut, terdapat kemungkinan besar berlaku perubahan spesifikasi yang melayakkan kedua-dua Iriz dan Persona mendapat penarafan skor yang cemerlang bagi ketiga-tiga kategori perlindungan terhadap dewasa, kanak-kanak, serta kategori teknologi bantuan keselamatan.
Kebiasaannya mana-mana pengeluar akan mengikuti skor penarafan yang telah pun dijalankan sebelum ini, kecuali terdapat perubahan dari segi ciri keselamatan yang didatangkan.
Ini sekaligus mencadangkan Proton mungkin sekali melengkapkan Iriz dan Persona dengan ciri keselamatan aktif seperti contoh brek kecemasan automatik (AEB) atau sistem pemantauan titik buta, sesuatu yang sudah pun dimiliki oleh beberapa pesaing di dalam pasaran seperti contoh Perodua Myvi, Toyota Vios, dan juga Nissan Almera.
Selain daripada itu, difahamkan Proton Persona dan Proton Iriz 2021 akan menerima transmisi baharu bagi menggantikan peranan CVT dari Punch yang kurang 'punch' itu, iaitu transmisi automatik empat kelajuan daripada Hyundai seperti yang digunakan pada Proton Saga sebelum ini.
Butiran lanjut berhubung skor penarafan ASEAN NCAP untuk Iriz dan Persona hanya akan didedahkan dalam masa terdekat.
Sumber: ASEAN NCAP